
Katanya, tiada lagi “keperluan menunggu 2 atau 3 bulan” kerana “objektif dan perjuangan kami adalah sama”.
Beliau dipetik Malaysiakini dalam sebuah program anjuran parti itu di Machang, di mana bekas Adun Bukit Tuku, Mohd Zain Ismail dan 500 ahli Umno menyertai PPBM.
Pada 16 Mei lalu, Pengerusi PPBM dan Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, PH tidak akan menerima ahli dari parti yang kalah dalam pilihan raya umum ke-14 kerana rakyat tidak mahu ahli politik kerajaan lama mempengaruhi kerajaan baru.
Tetapi, pada 28 Mei lalu, Dr Mahathir berkata, PH mempertimbangkan untuk menerima ahli Umno dengan beberapa syarat.
“Kita tentukan mereka boleh menyertai parti kita setelah mereka isytihar keluar dari Umno, jadi bebas dan menyatakan pendirian mereka terhadap PH, barulah kita boleh pertimbang kemasukan mereka,” katanya yang bercanggah dengan kenyataan awal PH tidak akan menerima ahli Umno.
Ahli Parlimen Klang, daripada DAP, Charles Santiago kemudian mengingatkan PH rakyat mengundi gabungan itu yang bebas daripada unsur Umno dan ada ramai yang ingin menyertai PH dengan harapan mereka dapat melakukan “apa yang mereka biasa lakukan” dalam Umno.