
Ahli Majlis Tertinggi Umno itu berkata, keyakinan itu berdasarkan sokongan PAS, ditambah undi daripada rakyat yang menyokong BN pada pilihan raya umum 9 Mei lalu dan segelintir penyokong PKR.
“Ada orang PKR dah janji nak undi BN, kalau dapat sokongan penuh penyokong PAS, 13% hingga 14% (sokongan) dari PKR dan kekal dapat sokongan (rakyat kepada) BN pada pilihan raya umum lalu, kita yakin menang.
“Saya harap sokongan terbuka pimpinan malam ini dapat diterjemah dalam pilihan raya kecil nanti kerana dalam PAS ini, mereka berpegang kepada walak dan biasanya bila sudah ada keputusan diambil pucuk pimpinan, ahli akan patuh,” katanya selepas mendengar ceramah Bangkit Selangor di Markas PAS Kota Raja, malam tadi.
Ketua Penerangan PAS, Nasrudin Hassan menerusi ceramah malam tadi, secara terbuka menyeru ahli PAS menolak Pakatan Harapan (PH) dalam PRK Sungai Kandis kerana gabungan itu tidak mengamalkan dasar pemerintahan Islam.
“Kita tak nak kerajaan jahiliah diganti kerajaan jahiliah, kerajaan PH tidak mengamalkan pentadbiran Islam.
“Kita kena pastikan mereka kalah, PH kita kena tolak.”
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Khairuddin Amam Razali berkata, parti itu tiada pilihan kerana sebaik sahaja PH mentadbir Putrajaya, banyak kepincangan berlaku, termasuk meminggirkan Islam.
Pesuruhjaya PAS Selangor, Salehin Muhyi pula menyeru penyokong PAS mengundi BN bagi memastikan ada semak dan imbang dalam kerajaan Selangor.
Mengulas lanjut, Lokman berkata, sokongan PAS kepada BN di Sungai Kandis ialah permulaan untuk parti itu berdepan PH pada pilihan raya umum ke-15.
“Bagi saya, Sungai Kandis ini titik pertemuan umat Islam dalam negara, terutamanya Umno dan PAS. Saya rasa dua belah pihak tahu untuk kita jadi kuat menentang PH, kita perlu bersatu, tak kira apa jua cara sekalipun.
“Memang betul bukan mudah untuk diterjemah, tapi saya bersyukur PAS dah buat pendirian jelas dan saya harap ia diikuti ahli di bawah.”
Lokman berkata, beliau menghadiri ceramah Bangkit Selangor di Kota Raja malam tadi atas inisiatif sendiri, tanpa dijemput PAS.
Kerusi Sungai Kandis kosong susulan kematian penyandangnya, Mat Shuhaimi Shafiei akibat kanser limfoma pada 2 Julai lalu dan Lokman akan berdepan calon PKR, Zawawi Ahmad Mughni serta calon bebas, K Murthy, Sabtu depan, selepas PAS tidak menurunkan calonnya untuk mengelakkan perpecahan undi.
Pada pilihan raya umum 9 Mei lalu, Shuhaimi memenangi kerusi itu (dahulu Sri Muda) untuk penggal ke-3 berturut-turut dengan 23,998 undi, mengalahkan calon BN, Datuk Kamaruzzaman Johari (11,518 undi), calon PAS, Mohd Yusof Abdullah (7,573 undi) dan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM), Hanafiah Husin (76 undi).