HFMD: 7 kelas di 5 sekolah di Pulau Pinang masih ditutup

2,854 kes direkodkan sejak Januari sehingga semalam, termasuk terbaharu 41 kes HFMD berbanding hanya 1,117 kes bagi tempoh sama tahun lepas. (Gambar Bernama)

GEORGE TOWN: Sejumlah 7 kelas di 5 sekolah di Pulau Pinang masih ditutup berikutan terdapat murid di situ dijangkiti penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD).

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pertanian dan Industri Asas Tani serta Pembangunan Luar Bandar negeri Dr Afif Bahardin berkata semua kelas yang terlibat itu ditutup selama 10 hari untuk membolehkan kerja pembersihan dijalankan bagi memastikan murid lain tidak dijangkiti HFMD.

“Sekolah terlibat ialah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kwang Hwa di daerah Timur Laut membabitkan 3 kelas Tahun Dua dan Tiga ditutup selepas 13 kes HFMD dilaporkan di situ, manakala di daerah Barat Daya sebuah kelas Tahun Empat di Sekolah Kebangsaan (SK) Kongsi ditutup selepas terdapat 7 kes jangkitan HFMD.

“Sementara di daerah Seberang Perai Tengah (SPT) sebuah kelas Tahun Satu di SK Juara ditutup kerana terdapat 2 kes HFMD dan sebuah kelas Tahun Satu di SK Permatang Pauh membabitkan 3 kes manakala di daerah Seberang Perai Selatan (SPS) sebuah kelas Tahun Dua di SK Jawi ditutup selepas 7 kes dilaporkan di situ,” katanya dalam kenyataan, di sini semalam.

Beliau berkata sehingga semalam, 13 premis masih ditutup termasuk kelas-kelas di 5 sekolah itu, 3 taska, tadika (empat) dan sebuah prasekolah.

Dr Afif berkata 2,854 kes direkodkan sejak Januari sehingga semalam termasuk terbaharu 41 kes HFMD berbanding hanya 1,117 kes bagi tempoh sama tahun lepas.

Katanya 13 kanak-kanak dijangkiti HFMD masih dirawat di hospital termasuk hospital swasta dan kesemua mereka berusia setahun hingga 10 tahun itu dilaporkan dalam keadaan stabil.

Beliau berkata orang ramai dinasihatkan agar mengambil langkah kawalan dan pencegahan termasuk mendapatkan rawatan segera di hospital atau klinik kesihatan berdekatan jika terdapat tanda-tanda HFMD serta mengamalkan kebersihan diri yang baik dengan mengamalkan etika batuk dan amalan selalu mencuci tangan.

“Sekiranya kanak-kanak didapati mempunyai tanda-tanda HFMD, ibu bapa dinasihatkan untuk tidak menghantar anak mereka ke tabika, taska atau sekolah, sebaliknya dikuarantin di rumah sehingga sembuh,” katanya.

HFMD ialah satu penyakit disebabkan oleh virus dan gejala penyakit ini adalah demam, ruam (maculopapular dan vesicles) di tapak tangan, kaki dan ulser di mulut dan lidah, serta gejala dan tanda-tanda jangkitan saluran pernafasan atas (URTI).

HFMD disebabkan jangkitan virus, khasnya dari jenis Coxsackie A16 dan Enterovirus 71 (EV71) dan virus itu merebak secara kontak dengan air liur, cecair lepuh (blister) dan najis pesakit.