Kementerian siasat ketua jabatan cabul doktor pelatih

Kementerian siasat ketua jabatan cabul doktor pelatih

Kementerian Kesihatan juga akan mengadakan perbincangan dengan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Free Malaysia Today
Seorang ketua jabatan didakwa meminta doktor pelatih minum bersamanya sebelum melakukan sentuhan seksual secara paksa.
KUALA LUMPUR:
Kementerian Kesihatan sedang menjalankan siasatan rapi berhubung laporan aktiviti gangguan seksual ketua jabatan ortopedik sebuah hospital di Lembah Klang, kata Menterinya, Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata pihaknya juga akan mengadakan perbincangan dengan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat kerana melibatkan mangsa wanita.

“Kita akan berbincang dengan serius dan menyusuri perkara ini dan kami juga sedang membuat siasatan rapi hingga ke akar umbi,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Sebuah akhbar berbahasa Inggeris semalam melaporkan ketua jabatan terbabit menjadikan doktor pelatih wanita sebagai sasaran dan mengugut akan menggagalkan latihan perubatan mereka jika tidak mengikut kehendaknya.

Antara modus operandi ketua jabatan itu ialah meminta doktor pelatih untuk minum bersamanya sebelum melakukan sentuhan seksual secara paksa. Seorang daripada mangsa mendakwa telah membuat laporan polis namun tiada tindakan diambil.

Dalam perkembangan lain, Dzulkefly berkata tiada kes kematian baharu akibat penyakit Tangan, Kaki dan Mulut (HFMD) direkodkan setakat ini.

Bagaimanapun, beliau berkata pihaknya dimaklumkan terdapat satu kes melibatkan kanak-kanak berusia 11 bulan yang kini berada di Unit Rawatan Rapi di Hospital Sibu, Sarawak.

“Namun keadaan dia adalah lebih stabil dan semakin pulih,” katanya.

Sabtu lepas, seorang kanak-kanak berusia 2 tahun 5 bulan dari Kampung Pangtray, Daro, Mukah di Sarawak meninggal dunia dipercayai akibat dijangkiti HFMD.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata kematian kanak-kanak itu disebabkan jangkitan paru-paru yang teruk dengan jangkitan HFMD dan sampel klinikal diambil untuk ujian pengesahan bagi mengetahui penyebab kematian.

Kenapa doktor pelatih enggan lapor kes buli?

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.