
Beliau berkata, pihaknya merekodkan kira-kira 1,000 kes melibatkan lelaki setakat ini, termasuk tiga yang dibawa ke Tribunal Gangguan Seksual.
Perkembangan ini, katanya, menunjukkan gangguan seksual bukan hanya membabitkan wanita, sebaliknya lelaki juga boleh menjadi mangsa.
Menurut Nancy, antara bentuk gangguan seksual fizikal yang dilaporkan oleh mangsa lelaki termasuk perbuatan memegang bahagian tertentu tanpa persetujuan mereka.
“Sebagai contoh, ada satu insiden di sebuah kompleks beli-belah, seorang mangsa lelaki didekati dan dipegang secara tiba-tiba dari arah belakang oleh seorang jurujual lelaki ketika mangsa ingin masuk ke bilik persalinan pakaian,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Toleransi Sifar Keganasan: Say No to Sexual Harrasment di sebuah hotel.
Program Toleransi Sifar Gangguan Seksual: Say No to Sexual Harassment anjuran Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) itu bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat serta memupuk budaya sifar toleransi terhadap gangguan seksual.
Nancy berkata, usaha meningkatkan kesedaran ini perlu diteruskan supaya masyarakat lebih peka dan menggalakkan mangsa tampil mendapatkan bantuan.
Katanya, gangguan seksual perlu dipandang serius tanpa mengira jantina kerana semua mangsa berhak mendapatkan perlindungan dan keadilan.