Menteri: Sama ratakan gaji minimum dahulu, laksana RM1,500 dalam 5 tahun

M Kula Segaran berkata, Majlis Perundingan Gaji Negara sudah selesai menjalankan kajian semula ke atas kadar baru gaji minimum. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Manusia akan menyeragamkan kadar gaji minimum dalam masa 100 hari pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan menaikkan kadar itu kepada RM1,500 dalam tempoh 5 tahun ini.

Menterinya, M Kula Segaran berkata Majlis Perundingan Gaji Negara selesai menjalankan kajian semula ke atas Perintah Gaji 2016 dan cadangan itu akan dibentangkan kepada Kabinet minggu depan.

“Buat masa ini, kita akan memberi tumpuan kepada menyamaratakan gaji minimum di seluruh negara.

“Setakat ini, gaji minimum yang diterima di Sabah dan Sarawak adalah sekitar RM800 hingga RM920, manakala di Semenanjung Malaysia sebanyak RM1,000 sebulan.

“Kita akan bentangkan laporan gaji minimum ini minggu depan dan saya mohon maaf kerana tidak boleh beri pandangan sendiri berapa jumlah terbaik untuk diberi, saya hanya bertindak sebagai orang tengah kepada pihak industri dan pekerja,” katanya di lobi Parlimen hari ini.

PH dalam manifesto pilihan rayanya berjanji akan menyamaratakan gaji minimum di seluruh negara dan memulakan proses kenaikan gaji minimum.

Terdahulu, ketika menjawab soalan di dalam Dewan Rakyat, Kula Segaran berkata, jika tiada sebarang halangan, Perintah Gaji Minimum yang baru akan diwartakan bulan ini.

Katanya, kadar gaji minimum ini akan dikaji setiap 2 tahun dan berharap kadar itu dapat dinaikkan hingga RM1,500 seperti dijanjikan dalam 5 tahun ini.

Sementara itu, Kula Segaran enggan mengulas desakan supaya beliau meletak jawatan, susulan kontroversi membabitkan naib pengerusi DAP itu mendakwa orang Melayu sebagai pendatang dan orang India antara kaum terawal berada di Malaysia.

“Apa yang mereka kata itu hanyalah pandangan mereka, biasalah dalam politik. Saya tidak mahu komen lagi tentang perkara itu.”

Kelmarin, Kula Segaran memohon maaf dan menarik balik kenyataan kontroversi yang didakwa dibuatnya dalam sebuah program di Nilai, Negeri Sembilan, baru-baru ini.