Afif harap ‘Triple A’ terajui PKR

Dr Afif Bahardin. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Calon ketua Pemuda PKR, Dr Afif Bahardin berharap gandingan “triple A”, atau Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Seri Azmin Ali dan dirinya sendiri memenangi pemilihan 2018 dan menerajui parti itu.

Beliau seterusnya memuji Azmin berdasarkan rekod prestasinya sebagai pemimpin PKR dan Pakatan Harapan, menteri besar Selangor dan menteri hal ehwal ekonomi.

“Daya kepimpinan tertinggi, komited peduli rakyat dan berjaya kukuhkan Pakatan Harapan. Kesetiaan Azmin kepada Anwar dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail selama 20 tahun lepas tidak ada tolok banding,” katanya pada sidang media di Hotel Media hari ini.

Afif adalah exco kerajaan negeri Pulau Pinang pada merupakan timbalan Pemuda PKR.

Beliau akan berdepan Mohd Najwan Halimi, dan Akmal Nasrullah Mohd Nasir daripada pasukan Rafizi Ramli, yang akan bersaing dengan Azmin untuk jawatan timbalan presiden.

Afif berganding dengan Muhammad Hilman Idham yang bertanding jawatan timbalan ketua Pemuda. Hilman adalah setiausaha politik Azmin.

Akmal pula berganding dengan Ketua Pemuda Sabah, Raymond B Ahuar.