
Lim berkata siasatan sedang berjalan dan pakar akan menentukan sama ada kehilangan itu suatu kes pecah amanah.
“Saya akan menganggap KSU dulu akan tahu mengenainya. Dia mempunyai akses dan membenarkan dokumen. Takkan dia tak tahu?” katanya ketika ditemui di ruang legar Parlimen hari ini.
Terdahulu Lim memberitahu Dewan Rakyat bahawa akaun amanah di mana kerajaan memasukkan wang bayaran balik GST mengalami kekurangan sebanyak RM18 bilion.
Menurut Lim, wang itu hilang semasa pentadbiran Barisan Nasional dan sepatutnya dikembalikan kepada peniaga 2 minggu selepas mereka memfailkan tuntutan.
Beliau menuduh kerajaan Barisan Nasional merompak akaun amanah itu kerana kutipan GST tidak dikeluarkan daripada Kumpulan Wang Disatukan untuk dimasukkan ke akaun tersebut.
Lim enggan mengulas ketika ditanya sama ada bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak mempunyai kaitan dengan kehilangan itu.
“Kita tunggu hasil siasatan nanti,” katanya.