Jangan jadi batu api, Wan Rosdy beritahu Guan Eng

Jangan jadi batu api, Wan Rosdy beritahu Guan Eng

Pemimpin kerajaan perpaduan mesti elak kenyataan provokatif, sebaliknya tumpu pada kestabilan politik, kata naib presiden Umno.

Wan Rosdy Wan Lim Guan Eng
Naib Presiden Umno Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kenyataan Penasihat Kebangsaan DAP Lim Guan Eng, sifatkan Umno dan BN sebagai tidak boleh dipercayai, tidak membantu.
PETALING JAYA:
Naib Presiden Umno Wan Rosdy Wan Ismail memberi amaran kepada Penasihat Kebangsaan DAP Lim Guan Eng agar tidak memburukkan lagi ketegangan pada ketika Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan sedang berusaha menangani isu-isu berbangkit.

Wan Rosdy berkata, kenyataan Lim, yang menyifatkan Umno dan BN sebagai tidak boleh dipercayai dalam kerajaan perpaduan, tidak membantu.

“Saya ingin mengingatkan Lim Guan Eng agar tidak menjadi batu api yang mampu mencetuskan masalah lebih besar,” katanya dalam kenyataan.

Wan Rosdy berkata, walaupun ada segelintir pihak dalam Umno dan BN turut mempunyai pandangan negatif terhadap Lim, semua pihak harus bertindak matang demi kestabilan politik.

“Sebagai pemimpin senior, tanggungjawab kita adalah untuk menyatukan dan memperkukuhkan kerajaan perpaduan, bukannya mengeluarkan kenyataan yang boleh merosakkan hubungan antara parti-parti dalam kerajaan.

“Rakyat mahukan kestabilan dan penyelesaian, bukan pertelingkahan politik yang berpanjangan,” katanya.

Pada Isnin lepas, Lim menyifatkan Umno dan BN sebagai tidak boleh dipercayai dan menggesa pengundi supaya menolak mereka pada PRU akan datang.

Beliau turut membangkitkan tindakan 14 Adun Umno, yang menarik sokongan terhadap Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun, sebagai bukti kesanggupan BN mengetepikan kepentingan negara demi keuntungan politik.

Lim selanjutnya membangkitkan kenyataan berulang pemimpin BN dan Umno mengenai kemungkinan bertanding secara berasingan pada PRU16, walaupun masih berada dalam kerajaan perpaduan.

Pengerusi BN Zahid Hamidi pada 2 Mei lepas mengesahkan bahawa gabungan itu ‘hampir pasti’ bergerak solo pada PRU16, walaupun ‘persefahaman bersama’ dengan parti-parti lain harus dicapai bagi mengelakkan pertembungan tiga penjuru, katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.