Najib tiba di mahkamah untuk dakwaan baru

Najib Razak tiba di mahkamah diiringi pegawainya.

KUALA LUMPUR: Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak tiba di Mahkamah Jalan Duta atas pendakwaan baharu berhubung kes SRC International.

Najib tiba jam 8.50 pagi menaiki kereta Toyota Vellfire putih diiringi 2 kenderaan polis.

Beliau kelihatan tenang ketika hadir untuk pertuduhan baru itu.

FMT turut mendapati kelibat penyokong Najib tidak kelihatan sepertimana pendakwaan pertama bekas perdana menteri itu pada 4 Julai lalu.

Ahli parlimen Pekan itu akan didakwa di mahkamah hari ini atas pertuduhan membabitkan dana SRC mengikut Seksyen 4(1) Akta Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Amlatfa).

Beliau juga dijangka berdepan 3 lagi pertuduhan pengubahan wang haram.

Semalam Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengambil keterangan Najib selama 45 minit bagi membantu siasatan kes SRC International.

Beliau dipanggil SPRM untuk membantu siasatan berkaitan SRC International sebanyak 2 kali, iaitu pada 22 dan 24 Mei lalu yang keseluruhannya mengambil masa lebih 11 jam.

Pada 4 Julai lalu, Najib mengaku tidak bersalah terhadap 3 pertuduhan melakukan pecah amanah dan 1 dakwaan salah guna kuasa membabitkan dana SRC International bernilai RM42 juta.

Mahkamah turut menetapkan hari ini sebagai tarikh pengurusan kes itu di depan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Azman Abdullah.

Najib akan dituduh kerana pengubahan wang haram esok