Latihan ‘mesra’ ular untuk anggota bomba

Latihan ‘mesra’ ular untuk anggota bomba

Anggota bomba tidak dapat mengelak daripada terpaksa berhadapan dengan pelbagai cabaran dan situasi semasa bertugas termasuk haiwan berbisa.

“Bila jurulatih buka guni berisi ular, saya terus melompat ke atas kerusi. Apa lagi rakan yang lain hampir pecah perut ketawa.

“Saya memang takut dan geli dengan ular tetapi berbekalkan semangat untuk belajar mengendalikan haiwan, saya ketepikan semua perasaan itu,” demikian kata Abdul Hafiz Abdul Wahab, anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Beliau yang bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat Genting Highlands berkongsi pengalaman ketika menyertai Kursus Asas Pengendalian Haiwan Berbisa (ular) selama 5 hari yang berakhir pada 19 Julai lepas.

Abdul Hafiz adalah salah seorang daripada 23 anggota bomba dari seluruh Semenanjung Malaysia yang menyertai kursus berkenaan yang diadakan di Akademi Bomba dan Penyelamat Wilayah Timur, Marang (Terengganu).

Menurut beliau, anggota bomba memang tidak dapat mengelak daripada terpaksa berhadapan dengan pelbagai cabaran dan situasi semasa bertugas.

Ini termasuk menerima panggilan kecemasan berkaitan haiwan berbisa seperti ular dan untuk menangkap reptilia itu apabila tiba di lokasi.

“Selalunya apabila operasi demikian saya antara anggota yang berada di belakang dan membantu mereka yang mahir tetapi tidak pernah mendekati haiwan tersebut, namun semasa menjalani kursus ini kami didedahkan cara yang betul menangani ular,” jelas Abdul Hafiz yang sudah 6 tahun berkhidmat sebagai anggota bomba.

Belajar banyak perkara

Abdul Hafiz memberitahu Bernama, beliau kini lebih arif mengenai cara untuk mengenalpasti jenis ular berbisa dan tidak lagi hanya berdasarkan bentuk dan kedudukan taring haiwan berkenaan.

Bagi menghilangkan rasa fobia terhadap ular, peserta kursus juga diajar ilmu “snake confidence” di mana peserta perlu menyentuh dan “merasa” bentuk fizikal ular.

“Kami juga dilatih cara membuat rawatan awal kepada mangsa patukan ular iaitu membuat anduh bagi mengurangkan pergerakan anggota badan untuk mengelak bisa ular dari merebak ke seluruh badan mangsa,” tambahnya.

Sementara itu, satu-satunya pelatih wanita, Avlyanie Moidi, 21, yang menyertai Kursus Asas Pengendalian Haiwan Berbisa (ular) berkata berkata walaupun wanita sinonim dengan perasaan takut serta geli terhadap haiwan bersisik seperti ular tetapi sebagai anggota bomba, cabaran itu perlu digalas tanpa mengira jantina.

“Masa pegang ular dan haiwan itu bergerak membelit di tangan, saya menjerit dan timbul bermacam-macam perasaan. Namun dengan tunjuk ajar dari cikgu (tenaga pengajar) serta sokongan daripada ahli pasukan yang lain, saya mampu pegang dan menjalani latihan menangkap ular dengan sempurna walaupun masih ada perasaan geli terhadap haiwan itu.

“Sebelum ini jika ada orang sebut sahaja ular, saya adalah orang pertama yang akan melarikan diri tetapi dengan menghadiri kursus ini dan dilatih cara mengendalikan ular, saya yakin tidak takut lagi berhadapan dengan haiwan berbisa itu,” katanya yang bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat Klang Lama.

Menurut anak kelahiran Sabah ini, ilmu yang dipelajari perlu sentiasa dipraktikkan kerana jika tidak dipraktikkan mungkin akan wujud lagi perasaan takut dan fobia untuk berhadapan dengan ular.

Pelapis berkemahiran kendali haiwan berbisa

Bagi Ketua Jurulatih kursus asas pengendalian haiwan berbisa (ular), Safiq Mohamad, 26, kursus yang diadakan bertujuan untuk mendedah dan melahirkan pelapis anggota bomba yang mempunyai kemahiran dalam pengendalian haiwan berbisa.

“Di negara ini hanya ada 4 orang sahaja jurulatih haiwan berbisa dalam kalangan anggota Bomba sedangkan kita mendapat banyak aduan berkaitan ular yang masuk ke dalam rumah dan sebagainya.

“Ular banyak muncul pada musim kemarau dan akan keluar dari sarang untuk mencari tempat baru yang lebih sejuk. Ini adalah sifat binatang berdarah sejuk yang tidak boleh menerima suhu yang panas dan boleh mati jika cuaca terlalu panas, “ jelas Safiq.

Menurut beliau, pihaknya mahu melahirkan lebih ramai pakar dalam mengendalikan haiwan berbisa dan kursus yang diadakan dapat mengajar mereka cara untuk mengendalikan haiwan berbisa walaupun mereka ini belum mahir sepenuhnya.

Melatih secara teori dan praktikal

Melalui kursus tersebut mereka bukan sahaja diajar secara teori malahan mereka juga didedahkan secara praktikal di mana mereka perlu melakukan penangkapan ular seperti situasi sebenar operasi dijalankan seperti di kawasan runtuhan dan kawasan tertutup seperti rumah.

Tambah Safiq lagi, dengan menggunakan situasi sebegini barulah peserta dapat menjiwai keadaan sebenar dan menjalankan operasi dengan menggunakan ilmu yang dipelajari walaupun tanpa pengawasan dari jurulatih.

Selain itu katanya, anggota yang terlibat dengan kursus tersebut juga akan diletakkan di dalam satu tempat tertutup dan mereka perlu menangkap 20 ekor ular (ular senduk bersaiz kecil) secara perseorangan dengan dipantau oleh 2 orang jurulatih bagi memastikan keselamatan anggota berkenaan.

Menurut beliau lagi, walaupun terpaksa berhadapan dengan pelbagai karenah peserta semasa sesi pembelajaran termasuk “yang bersembunyi di hujung bangunan kerana fobia dengan ular” tetapi keadaan tersebut dapat diatasi apabila mereka diajar cara menangani dan mengawal perasaan takut menerusi subjek ‘snake confident’ yang diajar sebelum dibiarkan bersama ular.

“Selepas beberapa hari menjalani latihan kita dapat lihat perubahan pada setiap anggota dan mereka ini juga didedahkan dengan peraturan berkaitan Akta Perhilitan yang dikendalikan dengan kerjasama pihak Jabatan Perhilitan Negeri Terengganu,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.