Siti Kasim hentam Mujahid isu penurunan foto aktivis LGBT

Peguam Siti Kasim.

PETALING JAYA: Peguam-aktivis Siti Kasim menyelar Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa berhubung penurunan foto 2 aktivis lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) daripada satu pameran mengetengahkan patriotisme Malaysia.

Siti, yang fotonya merupakan sebahagian daripada pameran itu memberitahu FMT, adalah menyedihkan apabila foto rakyat Malaysia yang mewakili semua kumpulan “diturunkan secara berpilih” kerana moral agama, dan berkata keutamaan Mujahid tidak tepat.

“Apakah yang hendak dilakukannya (Mujahid) bagi memastikan wang di dalam pelbagai agensi agama yang kita ada hari ini tidak lesap?

“Kita belum mendengar tentang langkah yang akan diambil beliau bagi menyekat kepercayaan ekstremis dalam kalangan agensi ini, dan memastikan kepercayaan itu dihapuskan.

Beliau berkata, orang ramai masih belum melupakan pendakwah “ekstremis” di Yayasan Pembangunan Islam Malaysia (Yadim) yang turut terlibat dalam program nyahradikalisasi tahanan.

Walaupun tidak menyebut nama, Siti Kasim merujuk kepada Zamihan Mat Zin, yang dilabelkan sebagai ‘ekstremis” sebelum ini kerana, antara lain, menyokong sebuah kedai dobi mengehadkan pelanggannya kepada orang Islam sahaja.

Siti Kasim berkata, Mujahid sepatutnya memberi tumpuan kepada isu yang kritikal kepada negara, bukannya “campur tangan dalam kebebasan awam”.

Ketika ditanya responsnya berhubung kritikan itu dan gesaan supaya beliau memberi tumpuan kepada isu seperti korupsi, Mujahid memberitahu FMT bahawa ia memang sedang dilakukan.

“Kita tidak boleh melakukan kedua-duanya sekali kerana kita perlu mempertahankan pendirian bahawa LGBT tidak boleh dipromosikan,” kata menteri hal-ehwal Islam itu lagi.

Semalam, foto aktivis LGBT, Pang Khee Teik dan Nisha Ayub diturunkan daripada pameran “Stripes and Strokes” yang merupakan sebahagian daripada aktiviti Festival George Town yang sedang berlangsung.

Berikutan itu, aktivis masyarakat Datin Marina Mahathir meminta penganjur turut menurunkan fotonya dan berkata beliau bersolidariti dengan 2 aktivis LGBT itu.

Sebelum itu Mujahid mempertahankan arahan penurunan foto terbabit dan berkata ia selari dengan pendirian Putrajaya tidak mempromosi gaya hidup LGBT.

Siti mengesahkan kepada FMT beliau juga meminta penganjur menurunkan fotonya.