Orang Asli Gua Musang ugut teruskan sekatan, jika tak iktiraf tanah adat

Orang Asli Gua Musang ugut teruskan sekatan, jika tak iktiraf tanah adat

Pengerusi Belia Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan, Nik Mohd Syafiq Dendi Abdullah berkata kerajaan Kelantan tidak mengambil tindakan menyelesaikan isu tanah adat Orang Asli, selepas pertemuan pada 2013.

Free Malaysia Today
Nik Mohd Syafiq Dendi Abdullah (tengah, berbaju batik coklat) bersama kira-kira 220 Orang Asli dari Gua Musang berkumpul di Putrajaya hari ini untuk menyerahkan memorandum kepada setiausaha politik perdana menteri, Abu Bakar Yahya (kot hitam bertali leher merah).
PUTRAJAYA:
Kira-kira 200 Orang Asli dari Gua Musang, Kelantan berkumpul di Putrajaya untuk meminta bantuan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mewartakan tanah adat mereka, selepas kerajaan Kelantan pimpinan PAS gagal berbuat demikian.

Pengerusi Belia Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan, Nik Mohd Syafiq Dendi Abdullah berkata kerajaan negeri tidak mengambil sebarang tindakan untuk menyelesaikan isu tanah adat Orang Asli, selepas pertemuan pada 2013.

Katanya, kegagalan kerajaan negeri memaksa mereka mendirikan sekatan bagi menghalang syarikat pembalakan dan pekerja ladang durian memasuki kawasan hutan di Gua Musang sejak 18 Februari lalu.

Mereka mengugut akan meneruskan sekatan di daerah itu, jika tiada tindakan daripada kerajaan pusat dan negeri.

“Sehingga sekarang, tak ada tindakan ataupun keprihatinan kerajaan negeri Kelantan untuk menyelesaikan isu tanah adat Orang Asli,” katanya di luar Jabatan Perdana Menteri, hari ini.

Beliau mewakili kumpulan Orang Asli itu yang menyerahkan memorandum kepada setiausaha politik perdana menteri, Abu Bakar Yahya bagi mendesak kerajaan membantu mereka.

Syafiq turut mendakwa kerajaan Kelantan mendiamkan diri berhubung isu dibangkitkan mereka kerana menganggap pertubuhan itu tidak berdaftar dan haram.

“Sedangkan kami Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan adalah daripada akar umbi dan kami lebih faham keadaan yang berlaku di kampung kami.”

Pengerusi Jaringan Kampung Wilayah Tanah Adat Pos Simpor itu berkata, isu yang berlarutan sehingga hari ini berpunca daripada kegagalan kerajaan Kelantan tidak mengiktiraf tanah adat Orang Asli.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.