
Peguam bekas perdana menteri itu berkata terdapat banyak komen buruk terhadap anak guamnya termasuk di Twitter walaupun ketika penghujahan hari ini.
“Perbicaraan mesti ditangguhkan sehingga keadaan reda,” katanya ketika meminta perintah tegah siar ditetapkan menjadi kekal.
Perintah tegah siar itu dikeluarkan oleh mahkamah terdahulu bagi melarang media mengeluarkan laporan yang boleh memudaratkan perbicaraan.
“Perintah tegah siar mesti dikuatkuasakan agar publisiti buruk boleh dielakkan,” katanya.
Shafee bagaimanapun berkata pihaknya tidak kisah jika media melaporkan komen buruk daripada hakim atau saksi semasa perbicaraan.
Beliau berkata Najib berhak kepada perbicaraan yang adil di mahkamah dan bukan melalui media.
“Perlembagaan memberikan hak dibicarakan secara adil kepada tertuduh dan mahkamah memberi memastikannya,” katanya.
Beliau mengingatkan Najib tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya dan kata-katanya mesti dipercayai sungguhpun berasa sangsi.
Meskipun begitu, Najib sudah diisytiharkan bersalah oleh tuduhan-tuduhan terhadapnya susulan kata-kata buruk oleh mereka yang berkuasa dan dilaporkan media.
Shafee menamakan laman Sarawak Report, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Datuk Shukri Abdull, Peguam Negara Tommy Thomas, Menteri Kewangan Lim Guan Eng dan Ahli Parlimen Damansara Tony Pua sebagai pihak-pihak yang pernah membuat kenyataan buruk terhadap Najib berkaitan kes ini.
“Mereka mengeluarkan kenyataan kasar, biadab dan menyakitkan hati terhadap anak guam saya,” katanya dan menambah mahkamah mempunyai kuasa untuk menghukum mana-mana orang kerana menghina mahkamah semasa perbicaraan sedang berjalan.
Beliau berkata mahkamah mesti waspada kerana jika tidak saksi akan tertekan apabila orang luar memberikan komen tentang keterangan di mahkamah.
Timbalan pendakwa raya, Mohd Hanafiah Zakaria bagaimanapun berhujah Najib tidak patut memasukkan pihak pendakwaraya dalam perintah tegah siar itu.
“Perintah tegah siar mesti khusus dan bukan secara umum,” katanya.
Hanafiah berkata orang awam berhak memberikan komen dan mahkamah tidak akan terpengaruh semasa membuat keputusan.
Beliau berkata Najib boleh memulakan prosiding hina mahkamah atau membuat saman fitnah terhadap individu yang mengeluarkan komen tidak adil apabila perbicaran bermula.
Hanafiah berkata Najib didakwa atas tuduhan pecah amanah dan salah guna kuasa pada 4 Julai tetapi tidak memfailkan laporan polis terhadap mana-mana orang atas dakwaan campurtangan.
Beliau berdepan penjara 20 tahun dan denda bagi setiap pertuduhan.
Najib pada Rabu meminta dibicarakan atas 3 pertuduhan pengubahan wang dalam kes pemindahan RM42 juta daripada bekas anak syarikat 1MDB, SRC International ke akaun bank miliknya.
Jika didapati bersalah bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (Amlatfa), dia berdepan penjara maksimum 15 tahun dan denda.
Semua perbicaraan berkaitan dengan SRC International, sebuah syarikat tenaga yang pada asalnya anak syarikat 1MDB tetapi kemudian diletakkan bawah Menteri Kewangan (Diperbadankan).