
Di bawah memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai di Jakarta semalam, Institut Automotif Malaysia (MAI) dan Institut Otomotif Indonesia (IOI) akan bertanggungjawab mengendalikan Projek Kereta Asean itu.
Mereka akan bekerjasama menambah baik tenaga kerja pembuatan automotif dan rantaian bekalan untuk menghasilkan komponen kenderaan serta membentuk jenama baru.
Menurut akhbar itu, meraka akan mempunyai pembuat komponen automotif sendiri untuk merealisasikan MoU itu melalui kerjasama perniagaan kepada perniagaan.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Darell Leiking menandatangani MoU itu dalam lawatan susulan kepada pertemuan Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad dan President Joko Widodo, Jun lalu.
Leiking berkata, perjanjian itu ialah bukti hubungan ekonomi dua hala kukuh antara Indonesia dan Malaysia.
Indonesia ialah rakan dagang ke-7 terbesar Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif MAI, Datuk Mohamad Madani Sahari berkata, jika Indonesia dan Malaysia bergabung tenaga, mereka mampu mengeluarkan kenderaan dengan 90% komponen buatan tempatan.
Kedua-dua negara akan mengkaji kemungkinan mengeluarkan kereta biodiesel diperbuat daripada minyak sawit.
“Kami akan menjalin lebih banyak kerjasama dalam penyelidikan untuk meningkatkan keupayaan kami dalam menghasilkan kenderaan elektrik dan hibrid,” kata Madani.
Ketua Pengarah Pembangunan Industri Antarabangsa Indonesia, Gusti Putu Suryawirawan berkata, ketika ini terdapat 2,000 pembuat komponen automotif Indonesia dan Malaysia.
Katanya, perjanjian itu bertujuan mengeluarkan pelbagai jenis kenderaan, termasuk kereta penumpang, kenderaan komersial dan tujuan khas.
“Ada lebih 640 juta penduduk di Asean. Mereka akan berkembang, begitu juga kuasa beli kenderaan mereka. Oleh itu, kami akan melakukan yang terbaik untuk membekalkan pasaran itu,” kata Putu.
Pada separuh pertama tahun ini, Indonesia menghantar 1.5 juta komponen individu untuk kenderaan penumpang dan komersial ke Malaysia.
Kedua-dua negara mengalu-alukan anggota Asean lain, khasnya Thailand yang merupakan pengeluar automotif terbesar di rantau ini, menyertai mereka.