
Ahli Parlimen Sungai Petani itu berkata Abdullah mungkin membuat tuduhan itu berdasarkan satu perbincangan tertutup.
“Saya akan bercakap dengan beliau dan saya akan maklumkan pada anda apa yang mendorongnya membuat dakwaan itu.
“Buat masa sekarang, tidak adil kalau saya ulas kerana saya hanya mendengarkan daripada orang lain dan media,” katanya di ruang legar Parlimen hari ini.
Abdullah dilaporkan berkata ada cubaan menghalang Anwar mengambil alih kerajaan daripada Tun Dr Mahathir Mohamad.
“Banyak pihak cuba menghalang Anwar daripada menjadi perdana menteri. Ya kita tahu mereka bersekongkol dengan pihak yang menzalimi Anwar. Saya sebut terang-terang, Tun Daim Zainuddin, ya peranan beliau untuk memastikan…kalau kita tidak pilih Rafizi Ramli hari ini, sudah barang tentu kesukaran yang akan digalas oleh Anwar atas kedudukan beliau sebagai perdana menteri,” katanya di satu acara di Seremban.
Ditanya tentang kebenaran dakwaan itu, Johari berkata apa sahaja boleh berlaku semasa pemilihan parti.
“Bukan senang nak kawalnya. Tetapi dalam kes ini, dia mungkin ada bertemu akar umbi dan mereka bertanyakan apakah yang sedang berlaku dalam pemilihan parti.
“Mungkin dia sangat prihatin terhadap parti tetapi itu pandangan peribadinya. Pandangan itu bukan pandangan pasukan.
“Ada orang mungkin merasakan seperti itu (pilih Azmin akan membahayakan laluan Anwar).
“Bagi saya ini persaingan persahabatan. Ini bukan kali pertama kami berperang seperti ini. Saya tak rasa kenyataan ini menimbulkan apa-apa bahaya,” katanya.
Naib Presiden Rafizi menjajarkan dirinya dengan Anwar dalam kempen untuk jawatan nombor 2 parti. Rafizi berkata pasukan mewakili semangat “reformasi”, laungan perang dari 2 dekad lalu ketika tunjuk perasaan membantah tindakan Dr Mahathir memecat Anwar pada 1998.
Beberapa bulan menuju pemecatan itu, Dr Mahathir memanggil balik Daim dari persaraannya untuk mengetuai satu jawatankuasa tindakan ekonomi yang ditubuhkan untuk menangani krisis ekonomi.
Anwar dalam ucapannya pernah menuduh Daim terlibat dalam konpirasi untuk menamatkan kerjaya politiknya.
Daim sekarang ini mengetuai Majlis Penasihat Negara yang menasihatkan kerajaan Pakatan Harapan dalam 100 hari pemerintahannya.
PH menandatangani satu perjanjian yang menamakan Anwar sebagai pengganti Dr Mahathir.
Dr Mahathir, 93, mencadangkan dia mungkin berkhidmat selama 2 tahun atau lebih jika itu yang rakyat inginkan.