
“Saya tak pernah dengar, saya tak diberikan apa-apa maklumat,” kata pengarah komunikasi PKR itu di lobi Parlimen hari ini.
The Star memetik sumber sebagai berkata, Fahmi mungkin dicalonkan di Seri Setia dan beliau akan melepaskan Lembah Pantai bagi memberi laluan kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bertanding di kerusi Parlimen itu serta memasuki Parlimen.
Kerusi DUN Seri Setia kosong selepas penyandangnya, Prof Dr Shaharuddin Badaruddin, meninggal dunia akibat kanser kolon pada 2 Ogos lalu.
Semalam, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengumumkan bekas Adun Selat Klang, Dr Halimah Ali, sebagai calon parti Islam itu di Seri Setia.
Selain Seri Setia, PRK Balakong turut diadakan serentak, selepas penyandangnya, Ng Tien Chee maut dalam kemalangan di Lebuhraya Grand Saga, pada 20 Julai lalu.
Hari penamaan calon PRK Balakong dan Seri Setia ditetapkan pada 18 Ogos ini dan hari mengundi pada 8 September nanti.