Hasil siasatan Azam Baki akan didedahkan apabila tiba masanya

Hasil siasatan Azam Baki akan didedahkan apabila tiba masanya

Fahmi Fadzil berkata, kerajaan perlu tunggu maklum balas daripada KSN serta pastikan semua prosedur siasatan selesai sebelum dedah hasil.

AZAM BAKI
Fahmi Fadzil berkata, KSN juga sebelum ini sudah maklumkan terdapat beberapa proses yang perlu dipatuhi sebelum hasil siasatan pemilikan saham Azam Baki didedahkan.
KUALA LUMPUR:
Hasil siasatan berhubung pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki serta dakwaan wujudnya pakatan sulit dalam suruhanjaya itu akan didedahkan kepada umum apabila tiba masanya, kata Fahmi Fadzil.

Jurucakap kerajaan itu berkata, kerajaan perlu menunggu maklum balas daripada Ketua Setiausaha Negara (KSN) Shamsul Azri Abu Bakar serta memastikan semua prosedur siasatan selesai sebelum sebarang pendedahan boleh dibuat.

“Kita perlu pastikan siasatan berkenaan (Azam) diselesai sepenuhnya, sebelum apa-apa tindakan lanjut berkait dengan pemakluman hasil siasatan terhadap pegangan saham beliau boleh didedahkan.”

“(Pendedahan) akan dibuat apabila tiba masanya nanti. Sekarang ini kita kena tunggu proses dari KSN,” katanya dalam sidang media, sambil menambah, perkara itu akan diputuskan oleh Jemaah Menteri.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata, Shamsul Azri juga sebelum ini sudah memaklumkan terdapat beberapa proses yang perlu dipatuhi sebelum sebarang pengumuman dibuat.

Semalam, KSN menafikan laporan Bloomberg mendakwa Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengarahkan satu jawatankuasa khas menangguhkan pendedahan hasil siasatan berhubung pemilikan saham Azam, menyifatkan dakwaan itu tidak berasas dan mengelirukan.

Beliau menjelaskan, susulan pembentangan dapatan jawatankuasa siasatan dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada 11 Mac, prosiding terhadap Azam telahpun dimulakan selaras dengan Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

Beliau seterusnya berkata, Jabatan Peguam Negara akan mengambil tindakan lanjut terhadap Bloomberg berhubung laporan itu.

Bloomberg sebelum ini mendakwa dalam laporannya bahawa Anwar kononnya menggesa pegawai supaya menangguhkan pendedahan dapatan siasatan terhadap pemilikan saham Azam, sementara menunggu siasatan berasingan berhubung dakwaan pakatan sulit melibatkan beberapa ahli perniagaan dan pegawai SPRM diselesaikan.

Azam dan SPRM sebelum ini menafikan sebarang salah laku berkaitan dakwaan tersebut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.