Menteri nafi Nur Ilyani disekat bertugas

Menteri nafi Nur Ilyani disekat bertugas

Dzulkefli Ahmad turut menafikan Nur Ilyani Mohamed Nawawi dipindahkan dalam masa 24 jam ke JPA Putrajaya.

Free Malaysia Today
Dzulkefly Ahmad mengulangi kenyataannya sebelum ini bahawa kenyataan dibuat Nur Ilyani Mohamed Nawawi adalah pandangan peribadi. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad hari ini menafikan Dr Nur Ilyani Mohamed Nawawi disekat daripada bertugas di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu.

Beliau turut menafikan pegawai perubatan itu dipindahkan dalam masa 24 jam ke Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Putrajaya.

“Tak benar dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan keluarkan kenyataan.

“Anda dalam media sangat bertangunggjawab mengetengahkan fakta-fakta yang benar dan bertangungjawab serta memurnikan keadaan,” katanya pada sidang medianya di lobi parlimen hari ini.

Beliau juga mengulangi kenyataannya sebelum ini bahawa kenyataan dibuat Nur Ilyani adalah pandangan peribadi.

“Saya dah terangkan dia membuat kenyataan atas peribadi dia, telah saya nyatakan,” katanya.

Hari ini, seorang pengguna Facebook, Azman Hashim menerusi muat naik status mendakwa Nul Ilyani disekat daripada bertugas di HRPZ II.

Azman berkata Nur Ilyani dipindahkan dalam masa 24 jam ke JPA Putrajaya.

Langkah itu susulan Nur Ilyani dikatakan bakal berdepan tindakan tatatertib selepas tindakannya diadukan pihak tertentu kepada Biro Pengaduan Awam (BPA).

Ia selepas “surat terbuka” yang ditulisnya di Facebook pada 6 Ogos lalu mengenai pandangannya terhadap isu lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Memetik tulisannya, Nur Ilyani berkata sebagai seorang doktor, beliau tidak mengiktiraf perlakuan seks bebas apatah lagi songsang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.