PRK: PH berdepan satu lawan satu dengan MCA dan PAS di Balakong, Seri Setia

PH buat pertama kali menggunakan logonya dalam PRK Balakong dan Seri Setia.

BANGI: Pilihan raya kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong dan Seri Setia pada 8 September depan bakal menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara Pakatan Harapan (PH) dan masing masing calon MCA dan PAS.

Bagi PRK Balakong, PH yang buat pertama kali menggunakan logonya menampilkan pemimpin muda wanita daripada parti gabungannya DAP Wong Siew Ki manakala MCA mempertaruhkan ahli perniagaan Tan Chee Teong.

Pilihan raya kecil ini diadakan berikutan kematian penyandangnya Eddie Ng Tien Chee dalam satu kemalangan jalanraya 20 Julai lepas.

Keputusan pencalonan diumumkan Pegawai Pengurus PRK DUN Balakong Datuk Rosli Othman kira-kira 10.30 pagi di Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Langat, di sini.

Proses pencalonan yang berlangsung selama satu jam ditutup pada pukul 10 pagi.

Terdahulu, hampir 500 penyokong dari kedua-dua pihak telah berkumpul seawal 7.30 pagi di sekitar Pejabat Daerah Hulu Langat sebagai tanda sokongan terhadap calon masing-masing.

Rombongan PH yang diketuai Setiausaha Agung DAP yang juga Menteri Kewangan Lim Guan Eng dan setiausaha kebangsaan parti dan Menteri Pengangkutan Anthony Loke, mula bergerak ke pusat penamaan calon dari pusat operasinya yang terletak kira-kira 18 km dari sini.

Sementara itu, Tan, 40, tiba diiringi penyokong parti termasuk Timbalan Presidennya Datuk Seri Wee Ka Siong dan Naib Presiden Datin Paduka Chew Mei Fun selaku pengarah pilihanraya PRK Dun Balakong, menyerahkan borang pencalonannya pada pukul 9.06 pagi.

Buat pertama kalinya sejak penubuhan Perikatan dan seterusnya gabungan Barisan Nasional (BN) pada 1974, MCA bertanding atas tiket dan lambang parti sendiri pada PRK ini.

Pada pilihan raya umum ke-14, Tien Chee yang mewakili DAP menewaskan calon BN, Lim Chin Wah dan Mohamad Ibrahim Ghazali (PAS), dengan majoriti 35,538 undi.

Chien Tee memperoleh 41,768 undi berbanding Lim (5,875 undi) dan Mohamad Ibrahim (6,230).

Bagi kerusi DUN Seri Setia pula, calon PH yang merupakan bekas ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) Halimey Abu Bakar, 46, akan berdepan dengan calon PAS, yang juga bekas anggota Exco kerajaan Selangor, Dr Halimah Ali, 58.

Pegawai Pengurus PRK DUN Seri Setia, Datuk Mohd Azizi Mohd Zain membuat pengumuman itu pada pukul 10.37 pagi di pusat penamaan calon di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MPBJ) di sini, hari ini.

Mohd Azizi berkata pihaknya menerima borang pencalonan daripada calon PH pada pukul 9.10 pagi, manakala daripada calon PAS, pukul 9.15 pagi.

Terdahulu, pemimpin dan penyokong parti berkumpul seawal 7.30 pagi untuk memberi sokongan kepada calon masing-masing.

Antara pemimpin yang hadir memberi sokongan kepada beliau adalah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin dan Menteri Besar Selangor Amirudin Shari.

Dr Halimah yang tiba pada pukul 9 pagi menerima sokongan moral daripada pemimpin tertinggi PAS antaranya, timbalan presiden Tuan Ibrahim Tuan Man, naib presiden Datuk Iskandar Abdul Samad dan Setiausaha Agung Datuk Takiyuddin Hassan.

Hadir untuk turut memberi sokongan kepada calon PAS ialah beberapa pimpinan Umno termasuk naib presiden yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
PRK DUN Seri Setia diadakan berikutan kematian penyandangnya, Prof Dr Shaharuddin Badaruddin pada 2 Ogos lepas kerana barah usus.

Pada pihan raya umum 9 Mei lepas, Shaharuddin yang mewakili PKR, memenangi kerusi DUN itu dengan memperoleh 29,250 undi apabila menewaskan calon BN Datuk Yusoff HM Haniff (9,878), calon PAS Mohd Ghazali Daud (4,563) dan calon Bebas Dr S. Vignes (217).

DUN Seri Setia mempunyai 53,492 pemilih berdaftar, terdiri daripada 50,692 pengundi biasa, 2,770 pengundi awal dan 30 orang pengundi tidak hadir luar negara.