
Bekas setiausaha politiknya, Joh Wid yang juga pegawai khas kepada Musa memaklumkan perkara itu dalam status yang dimuat naik dalam Facebooknya hari ini.
“Sebelum itu, dia (Musa) perlu dirujuk ke Mount Elizabeth Hospital Singapura untuk menerima rawatan susulan. Hospital ini ialah hospital yang memegang rekod perubatan beliau sejak 30 tahun lalu.”
Katanya, kehilangan Musa sebelum ini kerana beliau memerlukan rawatan susulan, selepas menjalani beberapa prosedur rawatan pembedahan pintasan jantung bagi memastikan keadaannya stabil.
“Kini, tiba masanya dia pulang untuk menunaikan tanggungjawab sebagai Adun tanpa paksaan mana-mana pihak.”
Sebelum ini, ada pihak mendakwa Musa “melarikan diri” ke London bagi mengelak beberapa siasatan pihak berkuasa ke atasnya, namun menerusi kenyataannya menjelaskan tindakan meninggalkan negara pada 16 Mei lalu itu untuk menjalani rawatan perubatan di sana.
Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, Datuk Syed Abas Syed Ali dilaporkan berkata, Musa mempunyai masa hingga 11 September ini untuk mengangkat sumpah sebagai Adun dan kegagalan berbuat demikian boleh mengakibatkan beliau kehilangan kerusi DUN Sungai Sibuga yang dimenanginya dalam pilihan raya umum lalu.