Najib: Kami tinggalkan ekonomi dalam keadaan baik, kini bersiap hadapi defisit

Najib memberi amaran tentang ‘defisit berganda’ sekiranya kerajaan PH membenarkan lebihan dagangan bertukar menjadi defisit.

KUALA LUMPUR: Peningkatan penggunaan domestik akibat pemansuhan cukai barangan dan perkhidmatan 6% hanya bersifat sementara, kata bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak, yang menjangka ekonomi Malaysia akan semakin tertekan dengan pelaksanaan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) September depan.

Dalam temu bual dengan FMT baru-baru ini, Najib berkata sektor ekonomi Malaysia kini merosot kecuali penggunaan domestik dan ini tergambar dalam kemerosotan besar kadar pertumbuhan keluaran negara kasar (KDNK) sejak berlakunya perubahan kerajaan Mei lepas.

“Ia kini lebih rendah daripada kadar pertumbuhan KDNK Thailand dan Indonesia, yang sebelum ini lebih rendah daripada kita sejak beberapa lama,” katanya. “Ini pastinya amat membimbangkan.”

Bank Negara Malaysia (BNM) baru-baru ini menyemak semula unjuran pertumbuhan KDNK negara daripada unjuran asal 5.5-6% kepada 5% bagi tahun ini.

Najib berkata, kadar pertumbuhan lebih rendah itu berrpunca daripada pembatalan dan penangguhan beberapa “projek pembangunan infrastruktur yang sangat diperlukan” selain pembayaran lewat kepada pembekal kerajaan.

Bekas menteri kewangan itu juga berkata import kini bertambah lebih cepat daripada eksport sejak kadar GST disifarkan, selain pertambahan dalam penggunaan domestik.

“Akibatnya, lebihan dagangan kita jatuh,” katanya. “Keadaan ini dan ditambah dengan pengaliran keluar modal sejak pilihah raya, menyebabkan lebihan akaun semasa kita merosot teruk dan memeranjatkan banyak pihak. Ia kini jatuh kepada AS$1 bilion, jauh kurang berbanding AS$15 bilion dalam suku lepas.”

Beliau memberi amaran tentang “defisit berganda” sekiranya kerajaan Pakatan Harapan (PH) membenarkan lebihan itu bertukar menjadi defisit.

“Jika permintaan domestik dan import terus meningkat dalam keadaan pertumbuhan eksport merosot, kita juga boleh berhadapan dengan defisit dagangan, dan itu bermakna 3 kali defisit.”

Beliau berkata, kerajaan masih boleh bernafas kerana kerajaan pimpinan beliau meninggalkan baki tunai yang banyak dalam BNM, Petronas dan Khazanah.

“Tetapi bila rizab ini habis, apakah yang akan berlaku?” tanya beliau.

“Semasa Barisan Nasional (BN) berkuasa, pertumbuhan ekonomi, pasaran saham dan penciptaan kerja berjalan dengan baik. Kita tidak ada masalah itu kerana telah benar-benar pulih daripada kemelesetan ekonomi dunia 2008-2009 dan selepas itu kejatuhan harga minyak 2014-2016.

“Saya tidak faham kenapa kerajaan PH menghadapi masalah itu sebaik sahaja selepas BN kalah.”

Najib berkata, pentadbirannya mempunyai pelan transformasi nasional yang berjalan baik, walaupun mengakui wujud masalah pada peringkat permulaannya.

“Ia sepatutnya membantu negara mencapai kedudukan baik dari sudut inovasi, pertumbuhan dan kemapanan,” katanya. “Sedih sekiranya kita tidak lagi dapat melaksanakannya sehingga sempurna.”