Laporan kami ada maklumat sensitif, kata ahli CEP

Laporan kami ada maklumat sensitif, kata ahli CEP

Jomo Kwame Sundaram bersetuju cadangan CEP tidak patut didedahkan.

Free Malaysia Today
Jomo Kwame Sundaram berkata, CEP patut dibubarkan, tetapi ahlinya sedia membantu kerajaan dalam kapasiti peribadi.
KUALA LUMPUR:
Seorang ahli Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) berkata, laporan yang diserahkan kepada perdana menteri tidak patut didedahkan kepada umum kerana ia mengandungi maklumat sensitif yang mungkin disalahgunakan pihak tertentu.

Prof Jomo Kwame Sundaram berkata, sesetengah butiran dalam laporan itu boleh menjejaskan perniagaan.

“Kita perlu amat berhati-hati dengan maklumat itu kerana ada juga perkara yang boleh menjejaskan negara lain juga,” katanya dalam sebuah forum mengenai dasar ekonomi di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH), malam ini.

Baru-baru ini, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, laporan CEP yang mengandungi cadangan 5 ahli diketuai bekas menteri kewangan, Tun Daim Zainuddin ialah urusan kerajaan dan tidak patut didedahkan kepada umum.

Jomo yang bersetuju dengan perdana menteri berkata, walaupun ketelusan adalah penting, ia tidak bermakna semua perkara perlu diumumkan.

Pakar ekonomi terkenal itu berharap Dr Mahathir akan berkongsi maklumat itu dengan anggota Kabinetnya.

CEP dibubarkan

Sama ada CEP perlu meneruskan peranannya seperti dicadangkan Dr Mahathir, Jomo berkata, jelas tertera dalam surat pelantikan ahli CEP yang peranan mereka selama 100 hari pentadbiran PH.

“Perdana menteri masih boleh melantik Daim sebagai penasihat khasnya,” katanya sambil menambah ahli CEP sedia membantu kerajaan dalam kapasiti peribadi.

Beliau berkata, CEP perlu dibubarkan bagi mengelakkan ia terdedah kepada lebih banyak kritikan.

“Kerajaan tidak patut diganggu kontroversi.”

Selain Jomo dan Daim, CEP turut dianggotai bekas gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, bekas ketua pegawai eksekutif Petronas, Tan Sri Hassan Marican dan taikun Tan Sri Robert Kuok.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.