Menteri: Pelarian Rohingya berpotensi direkrut kumpulan pengganas

Menteri: Pelarian Rohingya berpotensi direkrut kumpulan pengganas

Mohamad Sabu bimbang pelarian Rohingya yang berada dalam keadaan terdesak boleh terima apa sahaja pandangan, termasuklah propaganda IS.

Free Malaysia Today
Ketua penolong pengarah Bahagian Counter Terrorism Bukit Aman berkata, selain 4 kes pelarian Rohingya terlibat IS antara 2015 dan 2016, kumpulan pengganas Arakan Rohingya Salvation Army turut dikesan merekrut ahli daripada kalangan pelarian Rohingya di negara ini secara aktif. (Gambar Reuters)
KUALA LUMPUR:
Malaysia menyuarakan kebimbangan terhadap pelarian Rohingya yang berpotensi direkrut sebagai pengganas IS jika isu pelarian masyarakat itu tidak ditangani secara serius.

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berkata kementeriannya memandang serius perkara ini dan masalah pelarian Rohingya sewajarnya ditangani segera Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) sebelum lebih ramai pelarian terjebak dengan ideologi IS.

“Saya melihat apa yang berlaku di Palestin apabila penduduk di sana dihalau keluar oleh Israel, mereka berada di merata tempat dan mencari jalan untuk melawan dan kembali ke tanah air mereka.

“Mereka ini (penduduk Palestin) akhirnya pergi kepada ideologi IS dan menjadi pengebom berani mati,” katanya selepas Simposium Antarabangsa Counter Terrorism dan Profesional Keselamatan (IACSP) hari ini.

Mohamad berkata, perkara sama boleh berlaku terhadap masyarakat Rohingya di Rakhine yang mengalami krisis pembersihan etnik.

“Saya lihat kebimbangan ini (direkrut menjadi IS) boleh berlaku kerana mereka berada dalam keadaan terdesak, di mana mereka boleh terima apa sahaja pandangan, termasuklah propaganda IS,” katanya.

Mohamad berharap PBB memainkan peranan secara lebih berkesan supaya mereka dapat kembali ke negara asal mereka.

Mengulas lanjut perkara berkenaan, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism, E8 Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay mengesahkan wujud elemen keganasan dalam kalangan pelarian Rohingya di negara ini.

Ayob berkata, ini kerana terdapat 4 kes pelarian Rohingya terlibat IS sebelum ini antara 2015 dan 2016.

“Walaupun bilangan mereka terlibat IS tidak ramai, tapi ini menunjukkan mereka mudah terpengaruh dengan propaganda IS.

“Kami telah menuduh mereka di mahkamah dan mengusir keempat-empat mereka ke negara asal.”

Ayob berkata, selain IS, satu lagi kumpulan pengganas Arakan Rohingya Salvation Army (Arsa) turut dikesan secara aktif merekrut ahli baru daripada kalangan pelarian Rohingya di negara ini.

Beliau berkata, hasil risikan mendapati Arsa beroperasi di rantau Asia Tenggara.

“Ada maklumat risikan mengatakan mereka beroperasi di rantau Asia Tenggara, maka kami pantau dan memastikan Malaysia tidak menjadi pangkalan Arsa merekrut pelarian Rohingya terlibat IS.”

Selain itu, Ayob juga mendedahkan sebanyak 95% anggota IS direkrut melalui media sosial.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.