SST kad prabayar, KKMM ambil maklum, kata Gobind

Gobind berkata kementerian akan membuat kenyataan rasmi dalam masa terdekat. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi dan Multimedia mengambil maklum berhubung aduan pengguna berkaitan caj cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang dikenakan terhadap kad tambah nilai prabayar telefon bimbit, kata menterinya Gobind Singh Deo.

“Buat isu SST untuk ‘prepaid’ (prabayar), perkara ini dalam perhatian KKMM. Kenyataan rasmi akan dikeluarkan dalam masa terdekat berkenaannya,” kata Gobind menerusi catatan di Twitter rasmi beliau, semalam.

Beliau berkata demikian bagi menjawab aduan seorang pengguna Twitter yang menyuarakan masalah tersebut di laman media sosial itu.

Pelaksanaan SST yang bermula semalam menyaksikan segelintir pengguna melahirkan rasa tidak puas hati apabila nilai akhir kad tambah prabayar telefon bimbit yang dibeli mereka telah dipotong dengan sejumlah amaun berikutan SST.

Perkhidmatan prabayar tersebut dikenakan caj 6%.