Dr Mahathir punca Kelantan miskin, kata pemimpin PAS

Che Abdullah berkata, Dr Mahathir bukan sahaja menafikan hak rakyat Kelantan dengan mewujudkan JPP, tetapi turut menjadi punca perpecahan apabila melantik pengulu mewakili kerajaan pusat sedangkan jawatan itu turut dilantik kerajaan negeri. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menguris hati rakyat Kelantan apabila menyifatkan negeri itu miskin walaupun ramai rakyatnya terdiri daripada usahawan yang mahir selain mendakwa kerajaan negeri pimpinan PAS tidak dapat mentadbir sendiri tanpa bantuan daripada kerajaan Persekutuan.

Setiausaha Badan Perhubungan PAS negeri, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, Dr Mahathir sepatutnya berasa malu untuk membuat kenyataan sedemikian kerana ketika era pentadbiran beliaulah rakyat Kelantan banyak ditindas dan negeri itu dinafikan hak.

“Dr Mahathir merupakan perdana menteri pertama yang mendiskriminasi Kelantan dan melanggar perjanjian persekutuan-negeri.

“Rakyat Kelantan membayar cukai, tetapi selepas 1990 Dr Mahathir mewujudkan Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) yang berfungsi seperti kerajaan dalam kerajaan.

“Ini maknanya beliau tidak menghormati pilihan rakyat Kelantan yang memberi peluang kepada PAS membentuk kerajaan. Beliau tubuh JPP dan salurkan peruntukan kepada JPP, selain melantik penghulu (lantikan pusat) di negeri ini,” kata Che Abdullah.

Che Abdullah, yang juga Ahli Parlimen Tumpat berkata, sebagai perdana menteri Dr Mahathir tidak wajar mengungkit kononya PAS tidak mampu mentadbir Kelantan jika tidak dibantu Putrajaya.

Katanya kepada FMT, Dr Mahathir juga merupakan perdana menteri yang mengalakkan perpecahan masyarakat di Kelantan akibat penubuhan JPP dan pelantikan penghulu tersebut.

“Perdana menteri boleh sebut begitu kalau Kelantan kutip sendiri cukai pendapatan, cukai SST, cukai jalan serta pelbagai cukai lain dan kerajaan Kelantan pula urus sendiri cukai itu. Sebaliknya mereka kutip semua cukai, kemudian tidak memberi peruntukan kepada Kelantan,” katanya.

Peluang kedua, Dr Mahathir patut berubah

Che Abdullah berkata Dr Mahathir sepatutnya berubah dan tidak lagi membawa sikap ketika beliau bersama Umno setelah diberi kepercayaan kali kedua oleh rakyat untuk menjadi perdana menteri melalui Pakatan Harapan (PH).

“Hari ini rakyat sudah menolak Umno, dan sepatutnya Dr Mahathir mesti berubah. Dr Mahathir dalam PH sepatutnya menerima Kelantan sebagai salah sebuah negeri dalam persekutuan Malaysia, yang bukan sahaja ada tanggungjawab, tetapi juga ada hak.

Beliau berkata, Dr Mahathir sepatutnya membetulkan kesilapan masa lalu kerana beliaulah yang menyebabkan sebuah negeri dengan lebih 95% rakyat Melayu Islam tertinggal dalam pembangunan negara.

“Kalau Dr Mahathir terus bawa budaya Umno yang dulu, sepatutnya pendokong PH kena bantah,” katanya.

Che Abdullah berkata Kelantan akan memegang janji Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bahawa kerajaan pusat akan menghapuskan JPP dan dana pusat disaluran terus kepada kerajaan negeri.

Kelantan miskin tapi tidak “perah” rakyat dengan cukai

Che Abdullah berkata walaupun Kelantan tidak semaju beberapa negeri lain dalam keadaan ia dinafikan hak oleh Putrajaya, namun rakyat negeri itu tidak dibebankan dengan cukai yang banyak seperti tol dan sebagainya.

“Kelantan dinafikan banyak perkara. Disebabkan itu berlaku kesan berganda, misalnya pelabuhan tidak dapat dibuat, pelabur susah nak datang. Bila tak ada lebuh raya atau projek besar tidak diluluskan, maka kerajaan negeri terpaksa pikul semua masalah dengan sumber terhad.

Katanya, walaupun dinafikan hak, Kelantan masih mampu bertahan dengan bajet kecil hampir RM1 bilion setahun dan memberi manfaat kepada rakyat, antaranya menyediakan bantuan pelajar untuk memasuki universiti, pelajar sekolah miskin, dana kematian, skim warga emas, bantuan beras bulanan dan sebagainya yang tidak ada di negeri lain.

Sehubungan itu, Che Abullah meminta Putrajaya menghormati negeri dan rakyat Kelantan dengan memberikan bayaran royalti secara terus kepada kerajaan negeri.

Dr Mahathir dilaporkan berkata Kelantan merupakan sebuah negeri yang miskin walaupun ramai rakyatnya terdiri daripada usahawan yang mahir dan berbakat.

Beliau berkata ini disebabkan kerajaan negeri yang dikuasai PAS tidak dapat mentadbir sendiri tanpa bantuan daripada kerajaan persekutuan.

“Sebenarnya saya minta maaf kata benda benar. Bantuan pusat mesti diberi untuk bantu kerajaan Kelantan sebab kekurangan kutipan cukai. Negeri itu miskin sebaliknya orangnya pandai,” kata beliau.

“Banyak pegawai tinggi kerajaan orang Kelantan, termasuk bekas setiausaha saya. Mereka cekap belaka. Kalau kerajaan pusat tak tolong, kerajaan negeri tak boleh diadakan sebab wang tak cukup. Ini kebenaran,” katanya.