Mohd Zawawi angkat sumpah Adun baru Sungai Kandis

Mohd Zawawi Ahmad Mughni menggantikan Mat Shuhaimi Shafiei yang meninggal dunia akibat kanser limfoma pada 2 Julai lalu.

SHAH ALAM: Mohd Zawawi Ahmad Mughni hari ini mengangkat sumpah sebagai Adun Sungai Kandis yang baharu.

Beliau mengangkat sumpah pada jam 10.05 pagi di DUN Selangor di hadapan Speaker Ng Suee Lim.

Zawawi menggantikan Mat Shuhaimi Shafiei yang juga bekas setiausaha politik kepada bekas menteri besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang meninggal dunia akibat kanser limfoma pada 2 Julai lalu.

Dalam pilihan raya kecil (PRK) yang lalu, Zawawi meraih 15,427 undi dengan majoriti 5,842 undi bagi menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Lokman Noor Adam yang mendapat 9,585 undi dan calon Bebas, K Murthy (97 undi).

Pada PRU14, Mat Shuhaimi mengekalkan kerusi itu yang sebelum ini dikenali sebagai DUN Sri Muda untuk penggal ke-3 dengan majoriti 12,480 undi apabila meraih 23,998 undi mengalahkan Datuk Kamaruzzaman Johari (BN) yang mendapat 11,518 undi, Mohd Yusof Abdullah (PAS) yang menerima 7,573 undi dan Hanafiah Husin (Parti Rakyat Malaysia) yang hanya mendapat 76 undi.