16 maut, 26 hilang gempa kuat landa Hokkaido

16 maut, 26 hilang gempa kuat landa Hokkaido

Gempa bumi kuat bermagnitud 6.7 mengegar Hokkaido, utara Jepun pada awal Khamis menyebabkan tanah runtuh di kawasan pergunungan.

Ratusan gempa susulan dan amaran gempa melebihi 5.0 magnitud diramal berlaku di Hokkaido untuk tempoh kira-kira seminggu. (Gambar Reuters)
TOKYO:
Seramai 16 orang disahkan terbunuh dan 26 masih hilang selepas gempa bumi kuat bermagnitud 6.7 mengegar Hokkaido, utara Jepun pada awal Khamis, menurut kerajaan pada Jumaat.

Lapor agensi berita Xinhua, usaha mencari dan menyelamat masih diteruskan oleh anggota polis, bomba dan angkatan pertahanan.

Antara bandar paling teruk terjejas ialah Atsuma kerana kejadian tanah runtuh menyebabkan banyak rumah tertimbus.

Kejadian tanah runtuh juga dilaporkan banyak berlaku di kawasan pergunungan, menurut media tempatan.

Kira-kira 2.95 juta rumah mengalami gangguan elektrik dan Hokkaido Electric Power Company mengatakan bekalan mungkin dapat dipulihkan dalam masa seminggu.

Lebih 6,400 penduduk terpaksa bermalam di pusat pemindahan di wilayah Sapporo.

Kementerian Pengangkutan tempatan pula mengatakan perkhidmatan kereta api laju Shinkansen dan stesen kereta api bawah tanah Sapporo akan kembali beroperasi seperti biasa.

Gangguan elektrik ke bangunan terminal Lapangan Terbang New Chitose Airport juga berjaya dipulihkan.

Sekurang-kurangnya 300 orang cedera akibat gempa bumi berukuran maksimum 7 pada skala intensiti seismik Jepun.

Ia menjadikan gempa di Hokkaido buat pertama kali mencapai tahap intensiti itu sejak skala seismik disemak semula pada 1996, kata Agensi Meteorologi Jepun (JMA).

Ratusan gempa susulan berlaku dan JMA memberi amaran gempa melebihi 5.0 magnitud diramal berlaku di kawasan itu untuk tempoh kira-kira seminggu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.