Tak salah berundur untuk Anwar, kata wakil rakyat PKR

Tak salah berundur untuk Anwar, kata wakil rakyat PKR

Afif Bahardin berkata Pulau Pinang sememangnya kawasan Anwar dan partinya memegang 4 kerusi Parlimen.

Afif Bahardin (berbaju batik) menyerahkan bantuan kepada usahawan tani di Bayan Baru hari ini.
GEORGE TOWN:
Timbalan Ketua Pemuda PKR Dr Afif Bahardin hari ini berkata Datuk Seri Anwar Ibrahim dialu-alukan bertanding di salah satu daripada 4 kerusi Parlimen di Pulau Pinang bagi membuka laluan menjadi perdana menteri.

Calon ketua Pemuda PKR pada pemilihan akan datang ini berkata tiada tempat lebih baik untuk Anwar daripada Pulau Pinang.

“Penang adalah kawasannya. Ada 4 kerusi Parlimen di sini untuk dipilih,” katanya ketika ditemui di satu majlis di Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang di Bayan Baru hari ini.

PKR menang 4 daripada 13 kerusi Parlimen di Pulau Pinang pada pilihan raya 9 Mei lepas.

Afif berkata debat mengenai “prinsip” sekiranya wakil rakyat mengosongkan kerusi untuk Anwar sudah berlebih-lebihan.

Beliau berkata pengkritik mesti sedar matlamat lebih besar iaitu memenuhi hasrat rakyat yang mahu Anwar kembali aktif berpolitik dan menjadi perdana menteri ke-8.

“Bagi saya, memberi laluan untuk tujuan yang lebih besar sebahagian daripada proses demokrasi. Mengapa bergaduh tentang berundur untuk Anwar sedangkan itu yang rakyat mahu?”

Afif berkata cara lain untuk membolehkan Anwar menjadi perdana menteri adalah meminda Perlembagaan Persekutuan untuk membolehkan senator menjadi perdana menteri.

Anwar yang berasal dari Bukit Mertajam enggan menyatakan di mana dia akan bertanding tetapi pernah berseloroh mengatakan “di utara atau di Pekan, kalau kosong”.

Beliau juga berkata ada “2 atau 3” kerusi Parlimen sedang dipertimbangkan, dan dia mungkin kembali beraksi pada Oktober.

PKR ada 51 Ahli Parlimen di Dewan Rakyat. Anwar mememangi jawatan presiden PKR tanpa bertanding.

Beliau menolak kemungkinan bertanding Parlimen Pandan, yang sekarang disandang isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, kerana itu akan menyebabkan beliau meletakkan jawatan timbalan perdana menteri.

Anak perempuan Anwar, Nuruk Izzah, adalah Ahli Parlimen Permatang Pauh.

Anwar, 71, kini bebas bertanding pilihan raya selepas menerima pengampunan penuh atas pensabitan liwatnya. Beliau berkhidmat sebagai timbalan perdana menteri dari 1993 hingga 1998.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.