
Puad, yang merupakan ahli parlimen Batu Pahat berkata Shafee adalah peguam yang boleh dipercayai dan dikenali yang tidak akan membuat tuduhan tidak berasas.
“Pendedahannya bahawa Dr Mahathir mahu dia menjadi pendakwa raya khas dalam perbicaraan Anwar membongkar rahsia yang paling ditakuti Dr Mahathir.
“Dr Mahathir terbukti mengganggu hal ehwal negara, menggunakan ugutan dan mengutamakan agenda peribadinya,” katanya di Facebook hari ini.
Minggu lalu, seorang pegawai di Jabatan Peguam Negara (AGC) mendedahkan satu afidavit yang mendakwa 2 cek bernilai RM9.5 juta dikeluarkan kepada Shafee oleh bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak.
Siti Rahayu Mohd Mumazaini berkata maklumat itu diperolehi oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia selepas mengeluarkan perintah di bawah Subseksyen 44 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram, untuk membekukan akaun bank CIMB Shafee.
Shafee kemudian mengakui menerima wang itu tetapi berkata ia adalah sebahagian daripada yuran beliau untuk perkhidmatan yang disediakan untuk Umno dan Barisan Nasional (BN) sejak 1990-an.
Beliau juga mendakwa Dr Mahathir mahu beliau menjadi pendakwa raya khas dalam perbicaraan itu kerana pemimpin veteran itu tidak meyakini kecekapan AGC untuk menguruskan rayuan itu.
Bagaimanapun bekas perdana menteri Datuk Seri Najib tidak berminat dengan idea lantikannya sebagai pendakwa melalui FIAT untuk rayuan itu kerana tidak mahu menyinggung perasaan peguam negara ketika itu, Tan Sri Gani Patail.
Puad berkata bermungkinan Dr Mahathir menggesa Gani sehingga hasratnya untuk Shafee dilantik sebagai pendakwa khas melalui dipenuhi.
Beliau membandingkannya dengan kejadian berasingan di mana Dr Mahathir mengadakan pertemuan peribadi dengan Umno Johor di Hotel Pullman di Putrajaya.
Dalam pertemuan tersebut, beliau berkata, Dr Mahathir berkata beliau bertemu Najib yang bersetuju untuk membina semula “jambatan bengkok”, lebuh raya yang berbentuk “S” 6 lorong yang membenarkan kapal melintas di bawahnya, dengan syarat Umno Johor bersetuju.
“Umno Johor tidak bersetuju, ini satu sebab mengapa Dr Mahathir marah dengan Najib.”
Beliau berkata lebih mengejutkan lagi adalah peguam Matthias Chang berkata perdana menteri mempunyai 6 tuntutan terhadap Najib.
“Jika mereka tidak penuhi, Dr Mahathir akan menentangnya,” katanya.
“Apa tuntutan itu? Adakah amalan mengugut orang masih berlaku hari ini, sehingga menteri Pakatan Harapan termasuk DAP dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengikutinya begitu lembut?”
Puad berkata Dr Mahathir jelas campur tangan dalam kes itu atas alasan peribadi, sambil menambah beliau menikam Anwar dari belakang.
“Dia mahu Anwar dipenjarakan. Tetapi sekarang dia terpaksa membebaskan Anwar,” katanya, mempersoalkan kemungkinan pemimpin PKR itu mengambil alih jawatan sebagai perdana menteri ke-8.
“Perdana Menteri dan orang kanannya, Matthias, perlu berterus-terang mengenai perkara ini kerana ini melibatkan tuduhan yang serius dan mengancam kredibiliti mereka.
“Rakyat, Majlis Peguam, Umno, PAS dan NGO termasuk NGO kerajaan harus membuat laporan polis, dan polis perlu menjalankan siasatan penuh dalam perkara itu.”