Umno: Anwar akan kalah walaupun bertanding di Permatang Pauh
Lokman Adam mendakwa Anwar akan kalah kerana penolakan rakyat dan usaha Dr Mahathir Mohamad mengekalkan jawatannya sebagai perdana menteri.
KUALA LUMPUR: Ketua Umum Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim diyakini akan tewas sekalipun bertanding di kawasannya sendiri di Parmatang Pauh, kata Umno.
Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Lokman Noor Adam berkata Anwar akan kalah atas 2 faktor, pertama atas penolakan rakyat terhadap janji manifesto PH yang belum ditunaikan selepas 100 hari memerintah, selain fitnah terhadap pimpinan Barisan Nasional (BN).
“Kalau Anwar bertanding di Permatang Pauh pasti akan kalah disebabkam orang sudah tahu fitnah bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak curi duit RM2.6 bilion dan ke atas menteri Kabinet yang kononnya rasuah tidak benar.
“Selepas 120 hari PH memerintah tidak ada sebarang pendakwaan dan keadaan ini seperti kena ‘kencing’.
“60 janji nak dilaksanakan dalam 5 tahun. 10 janji itupun tak boleh tunaikan dalam tempoh 100 hari. Hanya 1 janji ditunaikan itupun selepas 1 September iaitu cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dihapuskan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di majlis penyerahan borang bekas pemimpin PKR Pusat dan bekas presiden Parti Keadilan Insan Tanah Air (Kita), Zamil Ibrahim menyertai Umno.
Beberapa hari lalu, Naib Presiden PKR Rafizi Ramli berkata PKR akan mengosongkan 1 kerusi Parlimen minggu ini bagi memberi laluan kepada Anwar bertanding, dan disahkan oleh Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail.
Bagaimanapun Setiausaha Agungnya, Saifuddin Nasution pula berkata pengumuman berkenaan kerusi Parlimen yang akan ditandingi Anwar akan dibuat hari ini.
Mengulas lanjut, Lokman berkata faktor ke-2 kekalahan Anwar adalah usaha Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menghalang Anwar dari menjadi ahli parlimen.
Beliau berkata jika BN dan PAS tidak letakkan calon untuk melawan Anwar, Dr Mahathir didakwa akan meletak calon bebas.
“Saya yakin Dr Mahathir akan tolong letak calon. Ini pasti. Sebab Dr Mahathir akan usaha sunguh-sungguh, memastikan Anwar tidak akan jadi perdana menteri.
“Kalau Dr Mahathir tak boleh sekat Anwar jadi perdana menteri sebaik sahaja Anwar angkat sumpah jadi ahli parlimen, itu detik kehancuran PH.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
“Kerana kalau Dr Mahathir tak boleh kekal jadi perdana menteri, atau angkat salah seorang anak dia jadi perdana menteri, saya yakin dia akan bubarkan (Parlimen).”