
Peguam K Murali yang mewakili Khalid memberitahu pemberita Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Aliza Sulaiman membuat cadangan itu semasa pengurusan kes dalam kamarnya dengan dihadiri peguam K Shanmuga mewakili KiniTV Sdn Bhd.
Murali berkata pihaknya akan mempertimbangkan cadangan itu dan jika tiada penyelesaian dicapai oleh semua pihak, mahkamah menetapkan 1 dan 2 November serta 3 dan 6 Disember untuk perbicaraan kes.
Pada 26 April 2017, Tajuddin selaku plaintif menyaman Khalid, The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) dan KiniTV Sdn Bhd selaku defendan selepas mendakwa Khalid mengeluarkan 2 kenyataan berunsur fitnah terhadapnya termasuk memanggilnya dengan kata-kata yang kesat ketika mengadakan 2 sidang media di lobi Parlimen, masing-masing pada 21 dan 24 November 2016.
Ahli parlimen Pasir Salak, Perak itu mendakwa kenyataan pertama Khalid, yang juga ahli parlimen Shah Alam diterbitkan oleh NSTP melalui artikel bertajuk “Fury over Deputy Minister’s Remark” pada 22 November 2016 dan kenyataan ke-2 defendan disiarkan di KiniTV pada 24 November tahun sama serta kedua-dua kenyataan itu juga diterbitkan di “You Tube”, yang boleh diakses oleh orang ramai.
Dakwanya, kedua-dua kenyataan itu antara lain membawa maksud beliau tidak layak menjadi ahli parlimen, bertindak bertentangan dengan ajaran dan budaya Islam dan menghantar ahli keluarganya termasuk anak, saudara-mara serta penyokongnya untuk menyerang defendan secara fizikal.
Tajuddin juga mendakwa ketiga-tiga defendan enggan mengemukakan permohonan maaf serta enggan menarik balik kenyataan fitnah itu meskipun notis tuntutan dihantar kepada kesemua defendan.
Oleh itu, plaintif menuntut ganti rugi am, teruk dan teladan, faedah serta kos yang sesuai oleh mahkamah.