10 tempat makan berbaloi untuk wang

10 tempat makan berbaloi untuk wang

Tempat makan ini antara yang mendapat perhatian netizen dan media masa pada tahun ini kerana menjual makanan pada harga yang murah.

Berapa banyak anda berbelanja untuk makan tengah hari? Kalau berada di ibu kota Kuala Lumpur mahupun sekitar Lembah Kelang, sememangnya sebahagian besar duit gaji anda diperuntukkan untuk makan sahaja.

Bayangkan, secara purata seseorang boleh menghabiskan RM20 hingga RM30 untuk makan sehari, ini tidak termasuk snek atau belanja tambahan yang lain. Apatah lagi bagi mereka yang berkeluarga dan bergantung kepada kedai makan kerana kedua-dua suami isteri sibuk bekerja.

Lantaran itu, paling sihat, selamat dan jimat, pastinya memasak sendiri di rumah.

Bagaimanapun, bukan semua orang mempunyai masa dan tenaga untuk berbuat demikian. Selain kebanyakan restoran dan kedai makan yang menjual makanan pada harga melangit, terdapat juga pemilik yang bertimbang rasa dengan menawarkan makanan pada harga yang sangat murah dan berbaloi. Ia mungkin tidak logik bagi anda yang biasa membelanjakan belasan atau puluhan ringgit untuk hanya sepinggan nasi.

FMT Ohsem menyenarai antara gerai, kedai makan, restoran dan kafe yang menawarkan harga yang sangat murah.Ia dipetik dari laporan berita tempatan dan pengesyoran laman sosial oleh netizen sepanjang tahun ini.

1. Syurga makan pelajar, belanja kurang RM2

Tak mungkin anda ditawarkan dengan harga makanan kurang RM2 di tengah-tengah bandar raya Shah Alam! Tetapi percayalah, makanan di Eat & Repeat dihidangkan pada harga RM1.90 semangkuk. Antara pilihan makanan yang terdapat di sini ialah mi, nasi lemak, soto, nasi goreng dan nasi putih.

Ekoran harga murah, makanan sedap dan lokasi strategik pada pelajar universiti yang berdekatan, kafe yang berlokasi di Jalan Plumbum Z 7/Z, Seksyen 7 Shah Alam, Selangor sememangnya menjadi perhatian pelajar.

2. Nasi lemak ayam RM2

Semua orang sedar mengenai kos sara hidup yang melambung. Bagi peniaga di Pasar Borong Jalan Putra, Alor Setar yang turut akui fenomena itu mengambil inisiatif menjual nasi lemak dengan harga RM2 sahaja. Netizen yang memuji tindakan peniaga itu turut akui hidangan itu bukan sahaja murah tetapi sedap dan bahagian ayamnya yang besar. Selain itu, gerai tersebut juga menawarkan pelbagai jenis lauk dengan harga yang sangat berpatutan. Gerai makan ini menerima respon yang menggalakkan dalam Twitter selepas dikongsi seorang netizen.

3.RM8 sepinggan tapi ada 12 ekor udang segar

Bagi penggemar makanan laut khususnya sotong atau udang, inilah tempatnya. Selera D’Shahzan yang terletak berhampiran kawasan perumahan Taman Shahzan di Kampung Tiram, Kuantan, Pahang menawarkan pilihan makanan laut dan lain-lain pada harga yang berbaloi. Pemiliknya, Saisara Farina Ahmad Afandi, 30, dalam satu laporan akhbar pernah menyatakan amat berpuas hati melihat kehadiran pelanggan yang tidak putus-putus.

Selain makanan laut, turut dijual nasi goreng kambing ngosek, nasi goreng komando, nasi bungkus udang petai, nasi goreng meatball dan nasi goreng kepak ayam, bihun goreng kambing dan nasi goreng sotong cendawan dan sebagainya.

4. Set Chicken Chop dam teh ‘O’ RM6.50

Bila tengingin makan Chicken Chop tetapi hanya tinggal RM10 di poket, jangan risau. Duit itu sudah lebih daripada memadai. Red One Grill Station yang terletak di Medan Selera Jalan Sungai Pusu, Gombak menawarkan harga murah bagi makanannya dengan niat ia dapat dinikmati semua di samping memberi kepuasan kepada pelanggan.

Pemiliknya, Shirajul Baris Haja Alavudeen, 29 dalam satu temuramah akhbar tempatan akui pihaknya masih menjaga kualiti hidangan dan rasanya.

5.Makan minum pagi hanya 50 sen

Mungkin sukar nak percaya, bayangkan di kebanyakan tempat air kosong sahaja berharga 50 sen tetapi di sebuah gerai di Jasin, peniaga hanya mengenai bayaran 50 sen bagi makanan dan minuman pagi untuk pelanggannya. Gerai makan di Jalan Melaka Muar, Tedong, Jasin ini menawarkan sarapan pagi seperti lontong, roti canai, mee goreng dan 6 jenis kuih tempatan sehingga jam 11 pagi. Pengusaha gerai, Abdul Rahman Abdul Hamid, 60, yang akui menjual sambil beramal menyediakan makanan secara purata bagi lebih 400 pengunjung yang kunjungi gerai seawal jam 5 pagi. Bagaimanapun tawaran 50 sen itu diadakan pada setiap hari Sabtu minggu ketiga setiap bulan supaya lebih ramai pengunjung berpeluang merasai makanan di gerainya.

6. RM1 cukup untuk makan laksa, ais kacang atau rojak buah

Peniaga di Kampung Keladi di Kulim menjual makanan dan minuman pada harga RM1. Gerai dinamakan ‘Warung Mak Chaq’ ini terletak di lorong berhampiran Masjid Kampung Keladi menawarkan laksa, rojak buah dan ais kacang atau air batu campur (ABC) pada harga tersebut sekali gus menjadi tumpuan pelajar dan penduduk kampung. Peniaganya Sariah Yusof, 40, menjual harga tersebut sejak lebih 8 tahun kerana kasihan dan prihatin dengan kemampuan murid yang tidak membawa wang belanja yang banyak ke sekolah.

7. Restoran padat pelanggan kerana Chicken Chop RM5

Achamm Chicken Chop, Lorong Hj. Said, Jalan Kebun, Shah Alam menawarkan hidangan makanan barat seperti Chicken Chop, Lamb Chop, Mix Grilled, Fish & Chip dan banyak lagi pada harga serendah RM5. Tak percaya?

Pemiliknya, Ahmad Zamri berkata beliau amat berpuas hati melihat kedainya yang tak pernah lenggang apabila menawarkan arga tersebut. Kalau tak percaya juga apa kata anda kunjungi dan beritahu kami.

8. RM4 nasi lauk ikan atau ayam

Bermula secara suka-suka untuk menawarkan makanan kepada pekerja buruh, kini Kedai Makan Anjung Kristal di Losong di Kuala Terengganu menjadi perhentian makan wajib bagi kebanyakan orang. Ini kerana nasi bersama lauk ayam atau ikan baru berharga RM4, nasi tambah pula percuma. Kedai makan berkonsep warung yang juga dikenali kedai nasi tambah berdekatan Taman Tamadun Islam (TTI) dikunjungi sekurang-kurangnya 100 orang pelanggan setiap hari.

9. RM2 cukup untuk makan puas

Di Kampung Deralik, Sitiawan seorang peniaga memperkenalkan menu makan serendah RM2. Jangan risau, walaupun murah, keenakan dan saiz hidangan yang dijual di Gerai RM2 Ros sam seperti restoran biasa. Gerai ini menyediakan menu seperti laksa dan bihun, mi atau kuew tiew sup dan kari pada RM2 semangkuk, manakala nasi ayam hanya RM2.50 sahaja.

Malah minuman pula dijual bermula RM1 hingga RM2 termasuk air batu campur (ABC). Kalau ke Sitiawan, berbaloi singgah ke gerai ini.

10. Nasi ayam taugeh, RM1.30 sahaja

Ini bukan gimik, kata pemilik restoran Shahrizan Azmed, 37, tetapi itulah prinsip yang dipegang iaitu ‘berniaga sambil bersedekah’.

Nasi ayam taugeh restoran ini menjadi terkenal selepas dikongsi di Facebook oleh seorang pelanggan. Berbeza dengan harga pasaran yang boleh mencecah sehingga RM10 sepinggan, di restoran yang terletak di kawasan perumahan Bercham dekat Ipoh ini pula menawarkan harga yang tersangat murah. Kalau nak makan di restoran ini pastikan anda sampai awal!

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.