
Kita telah pun disantap dengan versi Melayu Baharu Datuk Seri Azmin Ali dalam Kongres Masa Depan Bumiputra dan Negara. Kita juga disajikan dengan Himpunan Melayu Bangkit Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman yang mengingatkan orang Melayu bahawa beliau adalah Malay First dan Malaysian Second.
Baru-baru ini kita didendangkan oleh mursyidul am PAS yang mencanangkan Melayu Islam versi parti tersebut sebagai penyelamat umat Melayu di negara ini.
Kini Malaysia sedang berdebar-debar menunggu kebangkitan semula Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam “The Port Dickson Move” sejak beliau digagalkan Datuk Seri Najib Razak dalam “The Kajang Move”.
Akhir sekali kita menyaksikan sandiwara jawatan presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dengan pelakon utamanya, Maszlee Malik yang bakal meng’oxford’kan Islam di Malaysia.
Nilai apakah yang bakal didendangkan kepada kita? Sebelum memberi bacaan peribadi saya tentang implikasi semua peristiwa ini terhadap nilai yang dicanangkan, izinkan saya mengetengahkan 3 nilai utama yang saya amat harapkan orang Melayu mengecapinya.
Saya amat berharap orang Melayu kurun ke-21 dalam era Malaysia Baharu menjiwai nilai “keterbukaan”. Nilai ini amat penting dalam ledakan informasi, sains dan teknologi serta gelombang globalisasi yang meletakkan dunia pada telapak tangan kita semua.
Orang Melayu yang bersifat terbuka boleh menerima pandangan dari budaya selain dirinya, boleh menerima tafsiran agama dari orang selain ustaz pondok, boleh mengalami pengalaman kemanusiaan agama selain Islam, boleh menerima tafsiran sejarah selain Melayu sebagai pelakon utama serta heronya, boleh menerima pemimpin berwibawa serta amanah bukan sekulit dengannya.
Kalau harapkan Tajuddin, hanya Melayu saja yang patut jadi pemimpin, walaupun wang beratus juta ringgit tersimpan dalam rumah pemimpin Melayu bekas menteri perdana, presidennya, dan beg Berkin yang berkotak-kotak milik isterinya serta jam tangan mahal berjumlah beratus-ratus utas.
Adakah Melayu itu penjual beg, penjual jam tangan mewah atau sebagai juru tukar wang sebagai kerja sambilan?
Kalau harapkan PAS yang mencanangkan hudud, syariah dan hukum ala-mereka, tiada orang lain yang boleh menafsirkan hadis dan Al-Quran. PAS lebih mengangkat nilai “ketempurungan”nya bak kata pepatah Melayu, seperti katak bawah tempurung.
Dunianya saja betul. Pandangan orang lain, tafsiran lain tak guna satu sen pun. Nilai kejumudan ilmu dan jiwa yang dibutakan hati adalah wadah dan wacana PAS untuk sajian Melayu Baharu.
Saya amat berharap juga orang Melayu menjiwai nilai keihsanan. Nilai kasih sayang antara makhluk, nilai kasih mengasihani antara manusia, nilai kesefahaman dan toleransi yang membawa sifat kemanusiaan sejati merupakan penghujung bukti manusia sebagai bersifat ala ketuhanan melebihi keupayaan sains dan teknologi yang berupaya wujud dalam organisma lain.
Sifat kasih sayang berupaya mengangkat martabat Melayu ke tahap kesejagatan dari sifat kekampungan masa kini. Sifat kemaafan bagi pesalah kecil dari dirotan, direman dan dikecam bakal membawa Melayu sebagai rakyat dunia yang disegani.
Tetapi PAS dan Umno tidak gemar memaafkan pesalah ringan. Mereka dirotan, rakyat bukan Muslim dikecam malah diugut dibunuh oleh seorang mufti jika tidak bersetuju dengan RUU 355.
Malah ada mufti yang menghalalkan darah anak-anak muda yang berdemonstrasi aman sebagai pemberontak Darul Islam. Sifat kebinatangan ini menggambarkan Melayu sebagai manusia tidak toleran, tidak boleh menjadi rakyat sesebuah negara dan tidak ingin bercampur gaul dengan manusia lain.
Walaupun Rasulullah melarang umatnya mengasingkan diri dari masyarakat, tetapi Melayu PAS dan Umno mahu menjadi Melayu First dan Malaysian lain kali.
Bagaimana pula Melayu Amanah dan PKR? Melayu Azmin? Sukar dibaca masa kini kerana kebanyakannnya sibuk menunggu projek yang bakal didapati dari kementerian Azmin.
Kita kena tunggu dulu. Bolehkah mereka menjadi hartawan, jutawan dan rupawan yang toleransi, kasih sayang dan sanggup membantu orang susah? Terlalu awal untuk dijangkai.
Saya amat berharap juga Melayu Baharu mempunyai nilai keinklusifan. Nilai ini boleh membawa orang Melayu menjadi seperti Melayu zaman dahulu kala yang bercampur gaul dan berkeluarga merentasi kaum dan mengembangkan bahasa serta ilmu dari pelbagai sumber ketamadunan kemanusiaan.
Tiada sebarangan Melayu yang akan mengungkapkan kata “pendatang” kerana semua mereka pendatang belaka.
Tetapi kalau Melayu mempunyai parti untuk kulit yang sama dan songkok yang sama maka ia tidak boleh menjadi Melayu bernilai keinklusifan.
PAS tidak akan bercampur dengan orang yang tidak ada kad pengenalan Islam. Umno dan PPBM pula eksklusif untuk kulit yang lebih kurang sama. Ketiga-tiga parti Melayu ini jaga DNA masing-masing.
Tidak boleh inklusif. Nanti haram sebab darah mungkin ada arak atau sel LGBT. Di Amerika Syarikat undang-undang dibuat supaya masjid yang eksklusif untuk umat Islam tidak dibenarkan permit pembinaan. Yang dibenarkan adalah Community Center Islam yang terbuka juga untuk masyarakat dalam kawasan kejiranan.
Perlu inklusif, tak boleh eksklusif. Percampuran pemikiran antara tamadun Barat dan Islam merangsang kepelbagaian perkembangan ilmu sains, falsafah dan teknologi. Sebabnya sifat inklusif, kalau tidak orang Islam jadi seperti orang gila yang suka cakap “sorang-sorang”.
Akhir sekali saya ingin singkap apakah nilai yang bakal disajikan 2 tokoh Melayu; Anwar dan Maszlee.
Anwar adalah penulis buku “Asian Renaissance”. Dalam buku tersebut beliau mencadangkan Asia boleh berkembang dalam nilai ketamadunan ilmu pelbagai serta ketinggian nilai kemanusiaan dengan suatu tanggapan inklusif dan progressif terhadap nilai keagamaan dari semua tradisi agama ketimuran.
Di mana orang Barat mengecam agama Kristian dan hanya bertuhankan sains dan teknologi, Asia, teramasuk orang Melayu, bakal mewarisi ketamadunan sejagat dengan bersandarkan nilai Islam, Buddha, Taoist, Hindu dan selainnya. Sifat keterbukaan, keihsanan dan keinklusifan semuanya termaktub dalam buku tersebut.
Bagi Maszlee pula, apakah yang dimaksudkan beliau tentang meng”oxford”kan UIAM? Saya beranggapan beliau mungkin memaksudkan yang kebudayaan ilmu progresif dan liberatif Islam bakal dikembalikan di UIAM.
Ramai yang tidak tahu yang UIAM ditubuhkan bukan sebagai sebarangan universiti seperti UTM, UPM, UM dan USM. Universiti lain hanyalah kilang menghasilkan pekerja dan golongan professional dan ilmu mereka terhad kepada sains dan teknologi.
UIAM ditubuhkan oleh Anwar sebagai suatu tempat yang bakal melahirkan Melayu dan Muslim Baharu bernilai Islam progresif yang bakal menakluki dunia dengan sifat keterbukaan, keihsanan dan keinklusifan yang boleh mempastikan kelestarian kewujudan manusia di muka bumi ini dengan berkerjasama dengan pelbagai kaum manusia yang bertamadun tinggi. UIA bukan mahu keluarkan sekadar jurutera, arkitek atau peguam yang biasa tetapi insan kamil yang bersifat kemanusiaan sejati.
Masyarakat Melayu kini perlu mengambil keputusan penting dalam menentukan masa depan anak cucu mereka. Apakah Melayu kampung dan Melayu universiti akan memilih sifat ketempurungan PAS, kebertahanan (defensive) Umno atau melihat kepada sifat keterbukaan, keihsanan dan keinklusifan yang bakal dijanjikan 2 tokoh Melayu?
Siapa bakal model Melayu Baharu; Tajuddin dan Datuk Seri Hadi Awang atau Anwar dan Maszlee Malik? Bangun-musnah negara ini adalah pada Melayu dan pilihan mereka. Jangan salahkan kaum lain.
Prof Mohd Tajuddin Mohd Rasdi ialah pensyarah Universiti UCSI.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.