
Setiausaha Agungnya, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata pemimpin dan ahli PKR tidak seharusnya menyalahkan mana-mana individu kerana sebelum sistem itu diguna pakai, ia dibentangkan secara telus kepada semua pimpinan parti.
“Masa hendak bangunkan sistem itu, ia dibentangkan kepada Biro Politik dan MPP, jadi semua pimpinan parti tahu macam mana sistem itu berfungsi, jadi ia tanggungjawab bersama.
“Tiada pihak perlu dipersalahkan secara berseorangan kerana JPP yang mengendalikan pemilihan itu juga bukan ditubuhkan mana-mana individu atau ‘Saifuddin Nasution’.
“Lebih baik kita bersama berusaha untuk perbaiki kelemahan yang ada,” katanya selepas merasmikan Program Jelajah Pendidikan Luar Bandar dan Tuisyen Majlis Amanah Rakyat (Mara) di Kolej Mara Kulim yang dihadiri lebih 300 pelajar.
Saifuddin Nasution yang juga menteri perdagangan dalam negeri dan hal ehwal pengguna, berkata semua masalah dan kekecohan yang timbul semasa pemilihan pimpinan di Kedah dan Pulau Pinang akan dibincangkan dalam mesyuarat Biro Politik PKR malam esok.
“JPP akan sampaikan laporan kepada kita esok dan selepas itu baru boleh kenal pasti punca sebenar kelemahan sistem itu. Lepas itu, kita akan cari langkah pembaikan untuk pastikan perkara ini tidak akan berulang pada pemilihan akan datang.
“Saya tahu macam-macam orang cakap, tapi saya ambil pendekatan untuk dengar sendiri dan saya ingin syorkan sekiranya mana-mana pihak ada rasa tidak berpuas hati dengan kelemahan tatacara perjalanan pemilihan itu supaya angkat perkara itu kepada JPP agar boleh dibawa kepada Biro Politik esok.”
Pemilihan PKR tahun ini pertama kali menyaksikan pengundian dibuat secara dalam talian menerusi e-undi bagi melancar dan mempercepatkan proses mengundi lebih 800,000 ahli parti itu di seluruh negara.