PRK Port Dickson: Tiada pengumuman projek dalam kempen, kata Anwar

Anwar ketika berucap kepada penganut agama Sikh di sebuah gudwara di Port Dickson malam tadi. (Gambar Twitter)

PORT DICKSON: Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau tidak akan menggunakan pendekatan kempen seperti kerajaan sebelum ini yang mengumumkan peruntukan dan projek setiap kali pilihan raya bagi meraih sokongan.

“Walaupun isteri saya memegang jawatan timbalan perdana menteri dan kerajaan persekutuan serta negeri ditadbir oleh Pakatan Harapan (PH), saya tidak akan mengumumkan sebarang peruntukan atau projek dalam kempen saya.

“Tadi saya pergi ke kuil Sikh, sebelum itu ke pesta Tanglung, esok ke tokong Cina, kemudian masjid, saya tidak akan umum peruntukan atau projek sebab saya tidak mahu orang cakap Anwar menang sebab peruntukan atau projek kerajaan.

“Saya mahu pengundi beri kepercayaan kepada saya, apabila menang nanti Insyallah anda akan tengok ada perubahan di Port Dickson ini,” katanya semasa menyampaikan ceramah di Pasir Panjang, di sini, malam tadi.

Ia adalah pendekatan politik baru kerajaan PH yang bersandarkan kepada kepercayaan pengundi terhadap calonnya dan tidak akan menggunakan pendekatan politik lama yang diamalkan kerajaan sebelum ini.

Sementara itu, dalam satu lagi ceramah di Bagan Pinang pula, Anwar berkata beliau berhasrat untuk memperkenal satu program khas bagi pembangunan pendidikan di Port Dickson.

Perkara itu yang akan diumumkan dalam masa terdekat adalah inisiatifnya secara peribadi tanpa melibatkan kerajaan negeri.

“Saya percaya program ini akan memberi manfaat besar kepada Port Dickson dan ia saya lakukan hanya untuk Port Dickson sahaja, kawasan lain mungkin kemudian,” katanya.