Kes Kevin Morais: Tertuduh nafi bohong Najib tawar RM3.5 juta

S Ravi Chandaran dalam prosiding 2 Oktober lalu mendakwa Najib Razak melalui pegawai penjara menawarkan RM3.5 juta kepadanya untuk mengaku membunuh Kevin Morais.

KUALA LUMPUR: Tertuduh ke-7 yang didakwa membunuh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Anthony Kevin Morais menafikan semua keterangan yang diberikan sepanjang prosiding membela dirinya di Mahkamah Tinggi di sini, adalah satu pembohongan dan rekaan semata-mata.

S Ravi Chandaran, 47, yang merupakan saksi pembelaan ke-6 tidak bersetuju dia kini “terkapai-kapai” sehingga sanggup menuding jari kepada sesiapa sahaja, termasuk mengaitkan peguam dan bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam kes itu.

Ravi berkata demikian ketika pemeriksaan balas Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin dalam prosiding membela diri hari ke-25, hari ini.

Wan Shaharuddin: Kamu ditangkap pada 15 September 2015? Dalam perjalanan balik ke “hometown” (di Kedah)?

Ravi Chandaran: Ya

Wan Shaharuddin: Apabila ditangkap, sepanjang masa polis bertanyakan tentang kejadian (pembunuhan) ini?

Ravi Chandaran: Ya

Wan Shaharuddin: Kalau apa-apa kamu ingin ceritakan, itu adalah peluang terawal (untuk menceritakan kejadian sebenar).

Ravi Chandaran: Ya

Wan Shaharuddin: Kamu ada ceritakan semua kepada polis?

Ravi Chandaran: Tidak. Saya tidak ceritakan banyak perkara.

Wan Shaharuddin: Kamu tidak ceritakan banyak perkara sebab perkara yang kamu beritahu di mahkamah adalah satu pembohongan dan sesuatu yang direka.

Ravi Chandaran: Tidak setuju.

Wan Shaharuddin: Jika benar kamu tidak bersalah, itu adalah peluang untuk kamu ceritakan segala-galanya, pada 15 September.

Ravi Chandaran: Tidak setuju.

Wan Shaharuddin: Segala-galanya yang saya maksudkan adalah tentang pembunuhan Kevin Morais, penglibatan peguam yang mewakili tertuduh pertama dan Datuk Seri Najib. Kamu tak cerita sebab perkara yang kamu beritahu di mahkamah tidak berlaku.

Ravi Chandaran: Tidak setuju.

Wan Shaharuddin: Kamu sebenarnya sekarang ini terkapai-kapai untuk menarik sesiapa sahaja dengan kamu kerana sebenarnya kamu adalah “mastermind” bersama Dr Kunaseegaran dalam membunuh Kevin Morais sehingga sanggup mengaitkan peguam.

Ravi Chandaran: Tidak setuju

Tertuduh turut tidak bersetuju dengan cadangan Wan Shaharuddin yang 4 lagi tertuduh, iaitu R Dinishwaran, AK Thinesh Kumar, M Vishwanath dan S Nimalan adalah orang suruhannya dan Kunaseegaran.

Dalam prosiding sebelum ini, Ravi mendakwa bekas perdana menteri menawarkan RM3.5 juta melalui pegawai penjara untuk mengaku membunuh Kevin Morais.

Dalam laporan polis itu juga, dia mendakwa adik Kevin Morais, Datuk Richard Morais menawarkan RM2 juta untuk dia mengaku membunuh Kevin Morais, manakala dalam keterangan di mahkamah, dia mendakwa Kunaseegaran menawarkan RM1.5 juta untuk mengaku membunuh Kevin Morais.

Dinishwaran, Thinesh Kumar, Vishwanath, Nimalan, Ravi dan Kunaseegaran mengaku tidak bersalah atas pertuduhan membunuh Kevin Morais dalam perjalanan dari Jalan Dutamas 1, Sentul ke No 1 Jalan USJ 1/6D, Subang Jaya, antara 7 pagi dan 8 malam, 4 September 2015 mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Dinishwaran, 26, Thinesh Kumar, 25, Vishwanath, 28, Nimalan, 25, dan Ravi diwakili peguam Rajehgopal, manakala Kunaseegaran, 55, diwakili peguam Sivananthan dan pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya, Saiful Edris Zainuddin.

Perbicaraan di depan Hakim Datuk Azman Abdullah bersambung 26 Oktober ini.