Golongan muda paling ramai cuba bunuh diri kerana tekanan

Golongan muda tidak tahu bagaimana untuk menghadapi masalah tekanan dan berasa sunyi kerana tiada pihak mengambil berat.

PETALING JAYA: Golongan muda merupakan kumpulan paling banyak melakukan cubaan membunuh diri kerana tekanan mental mengikut kajian Kementerian Kesihatan.

12.8% golongan muda seawal usia 16 tahun sudah berniat untuk bunuh diri kerana faktor kemurungan yang teruk, kata pertubuhan bukan kerajaan (NGO), BeFrinders Kuala Lumpur, yang banyak mengendalikan dan menawarkan persahabatan kepada mereka yang ingin bunuh diri, mengalami masalah kemurungan atau menghadapi kesukaran hidup.

Ketua Exekutif BeFrienders, Justin Victor berkata, kebanyakan golongan muda yang membuat panggilan kepada pertubuhan itu sedar bahawa mereka tidak tahu bagaimana untuk mengurus tekanan jiwa yang dialami.

“Mereka bukan tidak mahu meluahkan perasaan kepada keluarga terdekat tetapi kebanyakan ibu bapa tidak merasakan masalah tersebut besar atau tidak mempercayainya.

“Ada satu kes remaja yang memberitahu ibu bapanya bahawa dia mengalami gangguan bipolar dan mereka memberikan anaknyaitu pil tidur hanya kerana tidak percaya kepada psikatari,” katanya dalam satu forum awam bertajuk “Working Together To Prevent Suicide’”.

Menurut angka Kementerian Kesihatan terdapat peningkatan dalam masalah kesihatan mental di negara ini dari tahun 1996 (10.7%) sehingga 2015(29.2%) .
Menurut Justin lagi, negeri paling banyak mencatatkan kes masalah kesihatan mental ialah Sabah (42.9% ), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (39.8%) dan Kelantan (36%).

Beliau berkata, golongan muda tidak tahu bagaimana untuk menghadapi masalah trsebut dan berasa sunyi kerana tiada pihak yang mengambil berat.

Menurut ahli psikologi Klinikal, Evelyn Soong, kebanyakan golongan muda yang murung tidak dapat menahan perasaan negatif yang menyelubungi diri mereka atas 3 faktor utama:

Pertama, keganasan rumah tangga yang menjejaskan emosi anak-anak dan berlarutan hingga mereka dewasa, tetapi dilihat sebagai sesuatu yang “normal” bagi pasangan terbabit. Pengalaman membesar dalam suasana “ganas” ini menyumbang kepada kemurungan yang dialami kanak-kanak sehingga mereka dewasa.

Kedua, kejadian buli siber yang dihadapi di laman sosial memberi kesan negatif berpanjangan seolah-olah mereka sentiasa diperhati atau diserang “musuh”.

Faktor ketiga ia kesan percanggahan antara imej serta pengalaman di dunia “virtual” di internet dengan dunia nyata menyebabkan ramai golongan muda keliru dan gagal membezakan antara kedua-duanya.

Kegagalan itu memberi kesan ke atas kesihatan mental golongan muda, sekali gus keupayaan mereka mengawal perasaan atau imaginasi, katanya.

Evelyn berkata, oleh sebab tidak ada pihak yang bersedia mendengar luahan perasaan orang muda yang mengalami kemurungan atau membimbing mereka keluar daripada masalah dihadapi, mereka cenderung mengambil langkah lebih buruk untuk mengatasi tekanan, termasuk membunuh diri.