Sistem pengesahan hologram masih boleh dipercayai, kata KKM

Sistem pengesahan hologram masih boleh dipercayai, kata KKM

Ia berkata aplikasi MyUBAT telah dinaik taraf sebagai platform untuk menyemak ketulenan label produk kesihatan.

The Farmatag hologram label
Kementerian Kesihatan berkata sistem hologram FarmaTag kekal sebagai perlindungan utama terhadap produk kesihatan tiruan. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Kementerian Kesihatan (KKM) berkata mekanisme pengesahan label hologram bagi produk kesihatan yang dikenali sebagai FarmaTag berfungsi dengan baik, susulan timbul kebimbangan mengenai lambakan produk tiruan dan tidak berdaftar di pasaran.

Dalam satu kenyataan malam tadi, kementerian berkata sistem label keselamatan itu terus menjadi komponen utama dalam rangka kerja pengawalseliaan di bawah Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) bersama pendaftaran produk, pelesenan, dan audit rantaian bekalan.

Ia turut berkata aplikasi mudah alih MyUBAT telah dinaik taraf untuk menjadi platform tunggal bagi mengesahkan ketulenan label keselamatan produk.

“Aplikasi ini kini mampu mengimbas semua versi label hologram Kementerian Kesihatan, sama ada yang lama mahupun yang terkini.

“Ketulenan produk juga boleh disahkan di premis farmasi berlesen yang dilengkapi dengan alat pengesahan yang diluluskan kementerian,” katanya.

Kementerian itu memberi maklum balas terhadap laporan media berhubung kebimbangan lambakan produk kesihatan tidak berdaftar serta dakwaan bahawa mekanisme pengesahan hologram tidak berfungsi.

FMT yang memetik seorang pakar jejak global dalam laporan semalam, berkata bahawa sistem pengesahan dan pengesanan yang lebih kukuh diperlukan di Malaysia kerana ubat-ubatan tiruan semakin banyak dijual secara dalam talian.

Selain itu, kementerian terbabit berkata ekosistem keselamatan produk kesihatan negara masih kukuh dan terkawal.

“Kementerian Kesihatan tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan penguatkuasaan tegas terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam pengedaran produk tidak berdaftar atau pemalsuan label keselamatan,” katanya.

Sistem hologram itu diperkenalkan sebagai Meditag pada 2005 dan dijenamakan semula sebagai FarmaTag pada September 2019. Ia diwajibkan untuk semua produk farmaseutikal bermula 2 Oktober 2025.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.