
Presiden Amrahi Buang berkata layanan tidak adil yang dirasai itu meresahkan profesion tersebut, dan kerajaan mesti menjelaskan mengapa ahli farmasi dikecualikan.
“Sudah tentu kami berasa terbatas. Bukankah kami juga sebahagian pihak penjagaan kesihatan yang merawat pesakit? Saya lihat banyak luahan di media sosial dan menerima maklum balas daripada ahli farmasi yang terjejas. Ia sangat membimbangkan,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata dasar kontrak tersebut memakan diri, memaksa ahli farmasi keluar daripada sistem kesihatan awam lalu menjejaskan perkhidmatan untuk pesakit — situasi yang menurutnya akan bertambah buruk menjelang akhir tahun apabila lebih banyak kontrak tamat, dan memberi kesan ke atas fasiliti awam dan swasta.

Amrahi menggesa kerajaan mengintegrasikan sistem kesihatan ke dalam suatu model paduan sepenuhnya bagi memastikan akses yang saksama untuk semua.
“Pada masa ini, sistem kesihatan Malaysia berpecah-pecah. Ia mesti disatukan untuk memastikan akses saksama. Kerajaan juga perlu memperkenalkan skim insurans sosial kebangsaan untuk mencapai liputan sejagat,” katanya.
“Menggembleng sumber kewangan daripada KWSP, Perkeso, zakat dan wakaf ke dalam skim pembiayaan nasional bawah kawalan kerajaan akan membantu mencapai liputan kesihatan sejagat. Melaksanakan perkara ini memerlukan iltizam politik yang bukan dibuat-buat,” tambahnya.
Awal bulan ini, FMT melaporkan 45 ahli farmasi kontrak yang berpengalaman bakal hilang pekerjaan pada 4 April selepas gagal menerima surat pelantikan, walaupun ditawarkan jawatan tetap pada Oktober lalu.
Kementerian Kesihatan kemudian menjelaskan bahawa tiada pelanjutan kontrak bagi ahli farmasi yang mencapai had kontrak lima tahun, dan menambah mereka boleh memohon semula apabila jawatan tetap dibuka pada 2027.
Sebaliknya, Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad mengumumkan pada Februari bahawa sistem kontrak untuk pegawai perubatan akan dimansuhkan secara berperingkat untuk menangani kekurangan kakitangan.
Kelemahan sistem kontrak
Bekas senator, Dr RA Lingeshwaran, berkata pergantungan kepada kontrak jangka pendek mengganggu kelangsungan perkhidmatan, memori institusi, dan pembangunan kemahiran, seterusnya melemahkan rantaian pakar dan pemimpin masa depan.

Bekas pengarah Hospital Sungai Bakap ini berkata bilangan ahli farmasi dan doktor gigi berlebihan mungkin berlaku akibat jawatan tetap yang terlalu sedikit, menyebabkan doktor muda bergelut dengan laluan kepakaran yang tiada kepastian, manakala pekerja kesihatan bersekutu tidak mempunyai kemajuan kerjaya yang jelas.
“Apabila doktor, ahli farmasi, dan doktor gigi tidak pasti tentang kemajuan kerjaya, mereka kurang cenderung untuk melabur dalam perkhidmatan awam atau melanjutkan kepakaran. Lama-kelamaan, ini melemahkan barisan pelapis pakar dan pemimpin masa depan,” katanya kepada FMT.

Ketua Pegawai Eksekutif Galen Centre for Health and Social Policy, Azrul Khalib, berkata dasar sementara itu mewujudkan rasa tidak selamat, melambatkan kemajuan kerjaya, dan melemahkan keyakinan terhadap perkhidmatan awam.
“Anda tidak boleh bina perkhidmatan farmasi, kesihatan mental, atau penjagaan primer yang boleh dipercayai di atas tenaga kerja yang patah semangat dan sentiasa bimbang sama ada mereka masih mempunyai pekerjaan dalam beberapa bulan mendatang,” katanya.
Mengapa reformasi tergendala
Lingeshwaran berkata kerajaan yang silih berganti gagal menyelesaikan isu kontrak kerana kekangan fiskal, perancangan tenaga kerja yang lemah, tadbir urus yang terfragmentasi, dan kitaran politik yang singkat.
Beliau menambah menukar sejumlah besar kakitangan kontrak kepada jawatan tetap mempunyai obligasi pencen dan gaji jangka panjang, manakala output latihan tidak seiring keperluan sistem.
“Memandangkan keputusan sumber manusia yang tersebar di pelbagai agensi, dan dasar yang berubah mengikut pentadbiran, autonomi Kementerian Kesihatan adalah terhad. Inilah sebabnya mengapa reformasi struktur — bukannya pembaikan secara berperingkat — adalah perlu,” katanya.
Beliau menggesa penubuhan suatu suruhanjaya perkhidmatan kesihatan bagi memberi kementerian kawalan lebih besar ke atas pengambilan kakitangan dan kemajuan kerjaya, di samping pelaksanaan penuh Kertas Putih Kesihatan. Beliau juga menyeru perancangan tenaga kerja secara bersasaran, insentif mengekalkan kakitangan luar bandar yang lebih kuat, dan sistem data tenaga kerja kesihatan nasional.
Azrul pula menggesa laluan yang jelas dari kontrak ke jawatan tetap, peluasan jawatan yang dibiayai berdasarkan keperluan perkhidmatan, penambahbaikan proses penempatan dan kenaikan pangkat, serta mengekalkan kakitangan dalam cara yang lebih kukuh melalui gaji yang adil, kemajuan kerjaya, dan insentif bagi kesukaran.