Anwar masih bergantung pada jentera kerajaan dalam PRK Port Dickson, kata PAS

Ketua Penerangan PAS Nasruddin Hassan berkata penasihat DAP, Lim Kit Siang masih mengalami ‘sindrom penafian’.

PETALING JAYA: PAS hari ini mengkritik calon Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim yang digembar-gemburkan sebagai bakal perdana menteri kelapan tetapi masih terus bergantung pada jentera kerajaan semasa pilihan raya kecil (PRK) Port Dickson Sabtu lepas.

Ketua Penerangannya Nasruddin Hassan berkata, perbuatan bergantung pada jentera kerajaan menunjukkan PH tidak yakin dengan kekuatan parti sendiri.

“(PH) terpaksa menagih kekuatan jentera kerajaan seperti wang, mesin dan media,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Penasihat DAP Lim Kit Siang yang mengatakan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang sepatutnya berasa bimbang tentang “perubahan arus” terhadap parti Islam itu dan masa depannya yang “merosot”.

Ini berikutan kenyataan Hadi sebelum itu yang berkata peratus keluar pengundi yang rendah dalam PRK Port Dickson adalah tanda protes rakyat terhadap kegagalan PH memenuhi janji pilihan rayanya.

Dalam PRK Port Dickson Sabtu lalu Anwar memperoleh 31,016 undi mengalahkan pesaing terdekatnya daripada PAS, Lt Kol (B) Mohd Nazari Mokhtar yang mendapat 7,456 undi.

Lima calon Bebas lain hilang wang pertaruhan masing-masing, termasuk bekas menteri besar Negeri Sembilan Tan Sri Mohd Isa Abd Samad dan bekas pembantu beliau Mohammad Saiful Bukhari Azlan.

Nasruddin sebaliknya berkata, prestasi PAS dalam 2 PRK iaitu di Dewan Undangan Negeri Seri Setia dan Port Dickson baru lepas menunjukkan peningkatan yang sangat baik.

“Undi popular di kedua-dua PRK yang disertai PAS membuktikan PAS terus diterima oleh rakyat, terutama daripada pengundi awal,” katanya.

Bekas Ahli Parlimen Temerloh itu berkata penasihat DAP tersebut masih mengalami “sindrom penafian”.

“Selepas kegagalan melunaskan 10 janji 100 hari dan terus membohongi rakyat, rakyat sudah muak dan mereka melakukan ‘silent protest’ dengan tidak keluar mengundi calon PH,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Nasruddin menggesa Menteri Kewangan Lim Guan Eng membentangkan satu kertas putih mengenai kedudukan sebenar kewangan kerajaan Persekutuan sebelum pembentangan Bajet 2019 yang dijadual pada 2 November ini.

Menurutnya, kertas putih tersebut amat penting bagi menyelaras kedudukan kewangan negara disebabkan terdapat beberapa kecelaruan mengenai data yang dikemukakan oleh Guan Eng dan pemimpin PH lain.

Beliau memberikan contoh kenyataan Menteri Pertahanan Mohamad Sabu dalam satu program di Universiti Malaya Sabtu lepas berkaitan hutang kerajaan Persekutuan.

“Beliau mendakwa nilai sebenar hutang negara jauh lebih besar daripada RM1 trilion yang dinyatakan oleh menteri Kkewangan sebelum ini. Kerajaan Persekutuan dikatakan menyembunyikan nilai sebenar hutang itu kerana bimbang negara akan menjadi muflis seperti Greece jika ia diumumkan.

“Kenyataan menteri pertahanan tersebut amat serius. Walhal, jawapan bertulis menteri kewangan pada 24 Julai 2018 kepada Ahli Parlimen Dungun menyebut dengan jelas hutang kerajaan Persekutuan adalah sebanyak RM686.8 bilion pada 31 Disember 2017,” katanya.