Festival air umpama disko terbuka berskala besar, kata PAS

Festival air umpama disko terbuka berskala besar, kata PAS

Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berkata lebih sesuai festival itu dianjurkan oleh swasta secara tertutup dan terhad.

rain rave
Pengunjung memenuhi jalan raya di Bukit Bintang ketika acara Rain Rave Water Music Festival.
PETALING JAYA:
PAS mengkritik penganjuran Rain Rave Water Music Festival di Bukit Bintang oleh Kementerian Pelancongan yang dianggap parti itu umpama sebuah disko terbuka berskala besar.

Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berkata adalah lebih sesuai festival itu dianjurkan oleh pihak swasta secara tertutup dan terhad kerana sifatnya yang mengundang kontroversi.

Katanya, festival muzik itu yang berakhir hari ini juga tidak inklusif.

“Ia tidak harus diangkat sebagai acara utama kerajaan, apatah lagi diwarwarkan sebagai acara utama promosi Tahun Melawat Malaysia 2026.

“Lebih parah, episod ini turut menyerlahkan realiti ketandusan idea dan imaginasi yang membimbangkan dalam dasar dan penggerak utama pelancongan negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Takiyuddin berkata Malaysia memiliki aset alam, budaya, sejarah dan warisan yang luar biasa dan dicemburui oleh banyak negara.

Katanya, kekuatan Malaysia bergantung pada identiti tulen termasuk bandar dan lokasi warisan, hutan hujan, pulau-pulau, makanan, seni tradisional, pelbagai perayaan.

Acara itu mendapat bantahan daripada pelbagai pihak, dengan Ketua Pemuda PAS Selangor, Sukri Omar, berkata ia tidak mencerminkan identiti Malaysia.

Sukri juga berkata acara sedemikian tidak sepatutnya meniru acara jalanan luar negara yang mungkin tidak sesuai dengan keadaan tempatan.

rain rave
Menteri Pelancongan Tiong King Sing menembak air ke arah pengunjung acara Rain Rave Water Music Festival di Bukit Bintang, Kuala Lumpur, petang tadi.

Bagaimanapun, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Tiong King Sing, yang mempertahankan acara itu, berkata penyertaan adalah secara sukarela dan menasihatkan mereka yang merasakan ia tidak sesuai supaya tidak mengambil bahagian.

“Tiada siapa dipaksa (untuk hadir ke acara ini). Kita mesti belajar menghormati pilihan orang lain,” katanya, sambil menambah bahawa acara itu tidak sepatutnya dipolitikkan atau dikaitkan dengan isu perkauman.

Sementara itu, Takiyuddin dalam kenyataan hari ini berkata PAS berasa kecewa respons semberono dan tidak cermat Tiong terhadap pengkritik.

Katanya, kenyataan sedemikian tidak wajar sama sekali diucapkan oleh menteri, lebih-lebih lagi individu yang diamanahkan tugas memaju dan mengetengahkan Malaysia sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia dan dihormati.

Menurutnya, kritikan disuarakan banyak pihak, termasuk dalam kalangan pemimpin kerajaan sendiri, bukanlah tidak munasabah atau melampau tetapi berkisar persoalan serius seperti kesopanan awam, kesesuaian tempat, keselamatan dan sensitiviti budaya.

“Isu-isu ini menuntut penjelasan dan libat urus yang bermutu dan bermaruah, bukannya tempelak dan pelecehan oleh seorang menteri persekutuan,” kata Takiyuddin.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.