
Presidennya Freddie Fernandez berkata acara percuma berskala besar di Bukit Bintang diadakan di kawasan tumpuan pelancong dan menarik kehadiran pengunjung antarabangsa.
Beliau berkata, pandangan acara sedemikian sepatutnya dibiayai secara komersial tidak mengambil kira realiti penganjuran acara percuma.
“Tanpa kutipan masuk, pulangan komersial tidak mencukupi untuk menarik penganjur swasta melaksanakan acara pada skala sebesar ini,” katanya dalam kenyataan.
Semalam, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berkata festival yang disifatkan sebagai ‘disko terbuka berskala besar lebih sesuai dianjur swasta secara tertutup dan terhad.
Rain Rave Water Music Festival bermula Khamis yang berakhir malam tadi dianjurkan bersama oleh Tourism Malaysia dan The Fame, sebuah syarikat inovasi jenama, sebagai sebahagian daripada kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.
Ketua Polis Kuala Lumpur Fadil Marsus berkata secara keseluruhan festival itu berlangsung terkawal tanpa insiden buruk tidak diingini.
Mengulas lanjut, Freddie berkata industri pelancongan memberi sumbangan besar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar dan peluang pekerjaan, justeru acara promosi pelancongan berprofil tinggi di tengah-tengah Kuala Lumpur adalah usaha yang wajar dilaksanakan kerajaan.
Katanya, Bukit Bintang antara koridor pelancongan Malaysia yang paling dikenali di peringkat antarabangsa dan pemilihan lokasi itu penting bagi memastikan acara terbabit memberi impak kepada pengunjung sasaran.
“Sekiranya acara ini dipindahkan ke lokasi tertutup atau dewan dalaman, ia akan mengurangkan keterlihatan, capaian dan impaknya terhadap pengunjung antarabangsa yang menjadi sasaran utama penganjuran,” katanya.
Fernandez turut menolak dakwaan Rain Rave Water Music Festival tidak mencerminkan identiti Malaysia, dengan berkata ia tidak pernah bersifat tunggal.
Sebaliknya, katanya, kepelbagaian budaya, kaum dan bahasa adalah asas kepada jenama ‘Malaysia Truly Asia’ yang sekian lama membantu mempromosikan negara kepada pelancong luar.
“Menyifatkan acara itu sebagai tidak selari dengan identiti Malaysia adalah satu pandangan sempit dan boleh dipertikaikan mengenai maksud sebenar identiti negara,” katanya.
Beliau turut merujuk kepada Arab Saudi, sebuah negara Islam yang sejak beberapa tahun kebelakangan ini menganjurkan acara hiburan luar berskala besar sebagai sebahagian strategi pelancongannya di bawah Wawasan 2030.
Katanya, pendekatan itu menunjukkan penganjuran acara awam berteraskan pelancongan tidak semestinya bercanggah dengan nilai atau identiti sesebuah negara Islam.
“Jika penanda aras tadbir urus bertanggungjawab mahu diambil daripada negara majoriti Islam, pendekatan Malaysia dalam menganjurkan acara awam berteraskan pelancongan bukanlah sesuatu yang baharu atau bercanggah dengan piawaian tersebut,” katanya.
Tambahnya, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya sebelum ini turut menyokong pelbagai festival yang meraikan warisan Melayu, budaya Cina, tradisi India serta budaya pribumi Sabah dan Sarawak.
Katanya, Rain Rave Water Music Festival adalah tambahan kepada kepelbagaian itu, bukan sesuatu yang mengurangkan identiti negara.
“Karyawan berdiri teguh menyokong ekonomi kreatif yang terbuka, bercita-cita tinggi dan mencerminkan kepelbagaian Malaysia,” katanya.