‘Bahasa Melayu lebih unggul, usah taasub bahasa Inggeris’

Hasan Arifin berkata, kejayaan sesebuah negara bukannya disebabkan bahasa, tetapi kerana sistem pendidikan yang baik.

KUALA LUMPUR: Seorang ahli Parlimen pembangkang menasihatkan kerajaan Pakatan Harapan tidak terlalu mengagungkan bahasa Inggeris dalam usaha memajukan ekonomi negara kerana ia bukan bahasa unggul untuk membina tamadun.

Datuk Seri Hasan Arifin (BN-Rompin) berkata, kemajuan dan kejayaan sesebuah negara bukan kerana bahasa, tetapi disebabkan sistem pendidikan yang baik.

Beliau memberi contoh Jepun, Korea Selatan dan China kini menjadi negara maju, walaupun tidak menggunakan bahasa Inggeris.

Bekas pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) itu berkata, orang yang berbahasa Inggeris bukan pembina tamadun dunia kerana bahasa Inggeris bukan bahasa intelektual.

“Di Asia, mana negara yang guna bahasa Inggeris yang berjaya dalam pembangunan mereka?

“Bahasa Sanskrit, Cina, Arab, Turki lebih unggul. Apabila India, Bangladesh dan Pakistan dijajah terus guna bahasa Inggeris, mundurlah mereka.

“Jangan terlalu agungkan bahasa Inggeris. Bahasa Melayu berteraskan Arab, Jawi, Melayu lebih unggul. Kenapa kita terlalu taasub dan dewa-dewakan untuk mengembalikan satu bahasa yang tidak tunjukkan kejayaan dalam membangunkan negara,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian mewakili ketua pembangkang, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi membahaskan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-11 yang dibentangkan perdana menteri minggu lalu.

Pada 6 Jun lalu, Tun Dr Mahathir Mohamad mahu penjawat tinggi awam mengambil ujian kecekapan bahasa Inggeris kerana penguasaan bahasa itu semakin lemah di Malaysia.

“Mustahak bagi penjawat tinggi awam menguasai bahasa Inggeris yang baik kerana mereka mempunyai mesyuarat di luar negara.”

Susulan itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun pada 13 Ogos lalu dilaporkan berkata, semua pegawai kanan dan ketua polis daerah diminta meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris.

Katanya, polis akan menggunakan bahasa Inggeris dalam taklimat dan tugas harian, sejajar arahan perdana menteri yang mahu pegawai tertinggi kerajaan mahir berbahasa Inggeris dalam pembentukan Malaysia Baru.

Ia juga bertujuan mengubah bahasa rasmi polis kepada bahasa Inggeris bagi membolehkan polis menguasai bahasa itu dan setaraf dengan dunia.

Dalam bidang pendidikan, polemik penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa perantara bagi pelajaran Matematik dan Sains pernah mencetuskan perdebatan tidak lama dahulu.