Melaka putuskan had umur perkahwinan perempuan Islam 18 tahun

Perbincangan menaikkan had umur itu dipersetujui di peringkat negeri dan pusat.

MELAKA: Kerajaan negeri Melaka memutuskan had umur perkahwinan bagi perempuan Islam di negeri ini dinaikkan daripada 16 tahun kepada 18 tahun bagi melindungi keselamatan, kesihatan dan hak kanak-kanak di negeri itu, kata Ketua Menterinya Adly Zahari.

Beliau berkata had umur perkahwinan bagi lelaki Islam serta perempuan dan lelaki bukan Islam adalah kekal pada 18 tahun, sehubungan itu pindaan dan penyeragaman had umur perkahwinan ini akan dilakukan penasihat undang-undang negeri.

Bagaimanapun katanya bagi lelaki dan perempuan Islam berusia bawah 18 tahun dibenarkan berkahwin berdasarkan syarat yang ditetapkan Mahkamah Syariah manakala bagi pasangan bukan Islam perlu mendapat kelulusan menteri besar atau ketua menteri.

“Perkara ini telah dibincangkan dalam Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri dan ia dipersetujui di peringkat Kerajaan Persekutuan. Kita di peringkat kerajaan negeri bersetuju dengan ketetapan berkenaan atas beberapa faktor khususnya kesihatan selain berpendapat usia 18 tahun itu sesuai bagi perempuan untuk berkahwin,” katanya, hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Melaka di Seri Negeri, Ayer Keroh.

Bahagian II Perkahwinan Tahun 2002 Enakmen Undang-Undang Islam (Negeri Melaka) 2002 Seksyen 8 Umur Minimum Untuk Perkahwinan menetapkan tiada akad nikah di bawah enakmen ini jika lelaki itu berumur kurang daripada 18 tahun atau perempuan itu berumur kurang daripada 16 tahun kecuali jika hakim Syarie memberi kebenarannya secara bertulis dalam hal keadaan tertentu.

Sebelum ini, media melaporkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengarahkan semua kerajaan negeri untuk menaikkan umur minimum perkahwinan kepada 18 tahun untuk orang Islam dan bukan Islam.

Sementara itu, Adly berkata jabatan dan agensi kerajaan di negeri itu diingatkan lebih proaktif menangani hal yang menyentuh sensitiviti khususnya berkaitan agama masyarakat di negeri itu bagi memelihara keharmonian dan perpaduan penduduk.

Beliau berkata semua pelaksanaan program yang melibatkan tempat atau bangunan milik jabatan atau agensi juga akan dipantau dari semasa ke semasa bagi mengelak sebarang insiden melibatkan agama yang boleh mencetuskan rasa tidak puas hati masyarakat berbilang kaum dan agama di negeri ini.

“Kita juga mengharapkan agar pihak berwajib berkaitan agama di negeri ini agar lebih berhemah dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab masing-masing khususnya isu sensitif terutama agama,” katanya.

Dalam pada itu, katanya kerajaan negeri sedang melakukan penilaian menyeluruh terhadap pengoperasian Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) di negeri itu bagi melaksanakan langkah penambahbaikan agar fungsi dan peranannya dapat dimantapkan.

Beliau berkata penilaian berkenaan melibatkan isu berbangkit seperti fasiliti dan kewangan khususnya skema penggajian kakitangan di 28 Japerun di negeri ini yang mula beroperasi sepenuhnya untuk memberi khidmat dan menjaga kebajikan masyarakat setempat.