
Mustapa menyerahkan borang keahliannya kepada Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin sambil disaksikan oleh Pengerusi Tun Dr Mahathir Mohamad.
“Saya berterima kasih kepada Dr Mahathir dan Muhyiddin, serta pimpinan PPBM kerana menerima saya. Saya memilih PPBM kerana saya percaya ia memberi peluang kepada saya untuk membantu rakyat Parlimen Jeli,” katanya pada sidang media di ibu pejabat PPBM malam tadi.
“Saya menyokong usaha Dr Mahathir menerapkan tadbir urus yang baik dan langkah-langkah mengukuhkan kewangan negara bagi meletakkan asas kukuh memastikan negara dibangunkan secara lestari.
“Saya harap dapat membantu PPBM sebagai parti komponen PH dalam agenda memperkasa Bumiputera dan merumuskan pelan pembangunan yang lebih inklusif untuk semua rakyat.”
Bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri di Dewan Rakyat sebelum ini tidak menolak kemungkinan menyertai Pakatan Harapan.
Beliau meninggalkan Umno pada 18 September lalu selepas lebih 40 tahun bersama parti itu. Beliau merupakan pemimpin terkanan Umno yang pertama meninggalkan parti itu pasca pilihan raya umum ke-14.
“Hala tuju yang diambil Umno pada masa ini tidak lagi selari dengan prinsip politik yang menjadi pegangan saya selama ini dan tidak ada banyak usaha yang meyakinkan bahawa proses rejuvenasi parti telah bermula,” katanya dalam kenyataan.