TMJ mahu proses baiki wad ICU Hospital Sultanah Aminah dipercepat

Wad Unit Rawatan Rapi (ICU) selatan Hospital Sultanah Aminah (HSA) terbakar 2 tahun lepas hingga meragut 6 nyawa pesakit. (Gambar Bernama)

JOHOR BAHRU: Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim mahu proses pembaikian wad Unit Rawatan Rapi (ICU) selatan Hospital Sultanah Aminah (HSA) yang terbakar 2 tahun lepas hingga meragut 6 nyawa pesakit, dipercepatkan.

Pengarah HSA, Dr Aman Rabu yang mengiringi Tunku Mahkota melawat wad berkenaan hari ini berkata, hasrat itu dinyatakan baginda semasa lawatannya.

Beliau berkata, kerja-kerja membaiki wad itu mengambil sedikit masa kerana Kementerian Kesihatan belum meluluskan peruntukan yang sewajarnya.

“Kita sudah memohon peruntukan selepas berlakunya kebakaran, tetapi ia bukan hanya untuk pembaikan malahan turut meliputi peralatan dan barang-barangan keperluan. Kita harap tahun ini, ada (peruntukan),” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas lawatan itu, semalam.

Kebakaran pada 25 Okt 2016 yang mengakibatkan kematian 6 pesakit itu disahkan berpunca daripada kebakaran kapasitor lampu di bangunan berkenaan, yang menyebabkan percikan api dari kapasitor itu mengenai bahan yang mudah terbakar, sebelum api menjadi marak dan tidak terkawal.

Terdahulu, Tunku Ismail meluangkan masa kira-kira 20 minit untuk meninjau keadaan wad itu serta beramah mesra dengan orang ramai.

Pada lawatan itu, baginda turut berkenan menyerahkan sumbangan bagi membina taman permainan baru untuk kanak-kanak di hospital berkenaan.