
“Setakat ini kita belum berbincang lagi dalam Kabinet, tetapi memang kita akan bincang nanti,” katanya selepas merasmikan penutupan Persidangan Melestari Kesejahteraan Kanak-Kanak, Orang Kurang Upaya dan Warga Emas, hari ini.
Semalam, Pemuda Umno dan PAS mengadakan himpunan di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur untuk membantah hasrat kerajaan mengesahkan ICERD.
Ketua Pemuda Umno, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki dilaporkan memberi amaran puluhan ribu lagi akan turun menunjuk perasaan di jalan raya, sekiranya kerajaan mengesahkan ICERD.
Minggu lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa dilaporkan berkata, kerajaan akan mengadakan rundingan dengan badan bukan kerajaan (NGO) Islam berhubung cadangan mengesahkan ICERD pada Rabu ini.
Rabu lalu, Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berkata, Malaysia akan menandatangani ICERD yang menyebabkan kerajaan terpaksa mengamalkan kesaksamaan kaum berdasarkan piawaian antarabangsa.
Perdana menteri berkata, langkah itu tidak mudah, tetapi rundingan akan diadakan dengan semua kaum terlebih dahulu, sebelum kerajaan menandatanganinya.
Pemilihan PKR di Sabah
Dalam perkembangan lain, Wan Azizah berkata, PKR akan menyiasat secara terperinci dakwaan calon timbalan presiden PKR, Rafizi Ramli diserang dalam pemilihan parti di Sabah, semalam.
Rafizi diejek sekumpulan lelaki, ketika beliau menjelaskan sesuatu kepada seorang wanita di pusat mengundi Keningau.
Keadaan bertambah buruk apabila beberapa individu memasuki pusat mengundi itu dan mengoyak jaring dawai pada dinding bangunan.
Sumber parti mengatakan Rafizi “ditumbuk” di belakang badannya, selepas beliau cuba bersemuka dengan sekumpulan lelaki yang mahu bertengkar dengannya.