Miliki dadah, wanita Ukraine dipenjara seumur hidup

Miliki dadah, wanita Ukraine dipenjara seumur hidup

Lopatkina Klavdiia didakwa mengedar dadah 1.54kg kokain di Ruang Ketibaan Domestik Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang pada 31 Disember 2015.

Lopatkina Klavdiia melahirkan seorang bayi perempuan pada Ogos 2016 semasa dalam tahanan reman. (gambar Bernama)
GEORGE TOWN:
Nasib tidak menyebelahi seorang wanita warga Ukraine berusia 24 tahun selepas Mahkamah Tinggi hari ini menjatuhi hukuman penjara seumur hidup terhadapnya setelah didapati besalah mengedar 1.54kg dadah jenis kokain, 3 tahun lepas.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Abdul Wahab Mohamed membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Naizatul Zima Tajudin terhadap tertuduh iaitu Lopatkina Klavdiia.

Klavdiia sebelum ini dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi pada 15 Dis tahun lalu terhadap pertuduhan mengedar dadah tersebut, bagaimanapun pihak pendakwaan mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan Putrajaya dan mahkamah tersebut (Rayuan) memerintahkan tertuduh membela diri.

Dalam keputusannya, Abdul Wahab berkata tertuduh sepatutnya mempunyai masa untuk melihat 2 bungkusan plastik yang dibawanya dari penerbangan melalui Dubai ke Kuala Lumpur seterusnya ke Pulau Pinang.

“Tertuduh dilihat menutup mata untuk mengetahui kandungan 2 bungkusan plastik yang dibawa melalui tanggannya sepanjang penerbangan itu sedangkan mempunyai masa yang panjang. Tertuduh juga tidak mengambil peluang itu untuk melihat kandungan bungkusan yang didakwa mengandungi coklat yang dibawanya,” katanya.

Mengikut pertuduhan Klavdiia didakwa mengedar dadah 1.54kg dadah jenis kokain di Ruang Ketibaan Domestik Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang pada jam 11 pagi, 31 Dis 2015.

Wanita itu didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta yang sama yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Ketika ditahan pada 2015, Klavdiia yang diwakili peguam Datuk N Sivananthan dan Low Huey Theng itu sedang mengandung sebulan dan dia melahirkan seorang bayi perempuan pada Ogos 2016 semasa dalam tahanan reman.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.