
Kitingan pada sidang media selepas mesyuarat agung luar biasa STAR berkata parti itu berkembang melampaui batas imaginasinya.
“Saya sama sekali tak jangka peningkatan jumlah orang yang mahu menyertai kami,” katanya. “Selepas pilihan raya saya terkejut apabila mendapat tahu rakyat akar umbi menubuhkan Kelab Penyokong DDJK (Datuk Dr Jeffrey Kitingan) di semua daerah di Sabah.”
Beliau berkata parti itu juga menarik minat masyarakat Cina, dan menambah pihaknya menerima banyak pertanyaan daripada orang Cina di Sandakan, Tawau, Likas, Luyang dan banyak kawasan lain.
“Sebelum ini kami tak membuka pintu seluas-luasnya kepada mereka. Tetapi kerana mereka sangat berminat, saya rasa kita wajar menerima mereka,” katanya.
Dalam tempoh 5 bulan lalu, terutamanya di 3 bulan terakhir, STAR menerima bekas ahli Upko, Warisan, Harapan Rakyat dan parti lain, katanya.
Beliau mengesahkan sekurang-kurangnya 36 cawangan parti tempatan di Penampang akan dibubarkan dan menyertai STAR atau Parti Bersatu Sabah (PBS).
Oleh kerana itu, majlis tertinggi STAR membuat keputusan untuk meminda perlembagaan dengan sokongan perwakilan dari semua 25 bahagian untuk menaikkan jumlah ahli majlis daripada 29 kepada 39.
“Kami juga membuat keputusan untuk menambah jawatan baharu seperti penolong ketua penerangan dan setiausaha. Semua tambahan jawatan ini juga akan dilakukan di peringkat bahagian dan cawangan.
“Kami perlu lakukan perubahan ini supaya kita boleh memberi khidmat kepada ahli dengan lebih baik. Kami juga memutuskan untuk membuat beberapa perubahan kepada lambang dan bendera supaya ia melambangkan identiti kami sebagai parti tempatan Sabah.”
STAR mempunyai 2 Adun di Dewan Undangan Negeri: Kitingan dan Adun Bingkor Robert Tawik.
Kitingan menambah 2 lagi Adun akan menyertai STAR tidak lama lagi: Adun Nabatan Bobbey Suan yang secara rasmi meninggalkan Upko semalam, dan Adun Ellron Angin, naib presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).
“Ini bermakna Adun STAR akan bertambah daripada 2 kepada 4 dan mungkin 5 tidak lama lagi kerana ada beberapa pemimpin lain bertemu saya dan kata mereka mahu sertai kami,” katanya.
Mengulas keputusan mahkamah tidak lama lagi mengenai kedudukan ketua menteri Sabah, Kitingan yakin kerajaan baharu akan berpegang pada ikrar menegakkan kedaulatan undang-undang.
Beliau berkata semua pimpinan Gabungan Bersatu Sabah (GBS) sedia mengambil alih kerajaan daripada Warisan-Pakatan Harapan jika keputusan mahkamah memihak kepada mereka.
Beliau berkata atas sebab itu dia bertemu Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad minggu lepas dan memberi jaminan kerajaan GBS akan bekerjasama dengan Putrajaya demi Sabah.
Mengulas mengenai 35 pertuduhan terhadap Tan Sri Musa Aman di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur semalam, Kitingan hairan mengapa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat keputusan untuk mendakwa Musa 2 hari sebelum Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu memutuskan kedudukan ketua menteri.
“Tertanya sekali ini adalah pendakwaan terpilih. Ramai lagi yang patut dibawa ke mahkamah tetapi mereka masih bebas. Lagipun, kes-kes itu daripada sekurang-kurangnya sedekad lalu. Saya hairan badan anti-rasuah membuat keputusan untuk menyiasatnya sekarang.”
Beliau tertawa apabila diberitahu dia antara mereka yang melaporkan Musa kepada SPRM sebelum ini, dan sebahagian daripada 35 pertuduhan terhadap Musa itu daripada laporannya.
“Saya ada buat laporan terhadapnya pada 2007 tetapi kes itu digugurkan dan dibuang oleh peguam negara ketika itu, Tan Sri Gani Patail. Pertuduhan yang dibacakan semalam tidak ada kena mengena dengan aduan saya.”